Berita Utama

SMPC jauh lebih mewah, masih mahu peruntukan?

Biarlah mereka ugut, kerajaan jangan tunduk dengan tekanan

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 22 Rabiulawal 1442H, Ahad – Pertikaian beberapa pihak terutama DAP dan MIC susulan tiada peruntukan untuk Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) dan penjelasan khas mengenai peruntukan sekolah vernakular dalam Belanjawan 2021, tidak perlu dikecohkan.

Sebaliknya, mereka patut sedar dan tahu jawapannya kenapa tidak diberi sebarang peruntukan, sindir Kluster Bahasa, Budaya, Sejarah & Sastera Majlis Perundingan Melayu (MPM), Kamal Shukri Abdullah Sani. 

Beliau berkata, sejarah telah membuktikan mereka sendiri yang menolak tawaran untuk bersama-sama membentuk sekolah aliran kebangsaan. 

“Mereka sanggup bersendirian menggunakan bahasa Mandarin sebagai bahasa pengantar pendidikan meliputi bahasa pentadbiran, urusan peperiksaan dan sebagainya. 

“Walhal, ia amat bercanggah dengan sistem dan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. 

“Apatah lagi semacam ugutan yang bertalu-talu oleh Dong Zong dan sekutunya agar Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) turut diiktiraf walaupun jelas banyak hal yang pincang,” katanya kepada Ismaweb.net.

Justeru, Kamal berkata, amat wajar sekolah persendirian Cina ini tidak diberi sebarang bantuan. 

Apatah lagi, jika ditinjau kebanyakan SMPC di seluruh negeri infrastruktur bangunan mereka sudah elok, bahkan mewah berbanding sekolah milik kerajaan sendiri. 

“Jadi amatlah wajar dan munasabah serta adil mereka tidak diberi peruntukan seperti sekolah yang mengikuti sistem pendidikan kebangsaan,” katanya.

Justeru, beliau berharap kerajaan tidak sesekali tunduk dengan sebarang tekanan pihak yang mahukan peruntukan. 

“Biarlah mereka terus menuntut atau mengugut. Malah, tiada peruntukan khusus undang-undang dalam Perlembagaan yang mewajibkan bantuan kepada sekolah berkenaan. 

“Bantuan jika diberi pun sebelum ini atas ihsan, dan tidak keterlaluan rasanya jika dianggap sebagai satu kesilapan.

“Kesilapan yang sama tidak patut diulang lagi oleh pihak kerajaan dan Kementerian Pendidikan sebagaimana kesempatan yang pernah diambil oleh kerajaan sebelum ini. Tahniah atas ketegasan pihak berwajib,” katanya.

Terdahulu, Ahli Dewan Negara, Senator Datuk S Ananthan berkata, peruntukan khas untuk sekolah vernakular dalam Belanjawan 2021 perlu diumumkan demi mengelakkan sebarang kekeliruan.

Pengerusi MIC Kedah itu berkata, beliau mendapati tiada pengumuman berhubung peruntukan khas untuk sekolah vernakular walaupun peruntukan sebanyak RM800 juta diumumkan untuk sekolah, kelmarin.

Selain itu, Ahli Parlimen DAP mengecam kerajaan kerana tidak memperuntukkan dana untuk SMPC dalam Belanjawan 2021. 

Dalam satu kenyataan, Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong berkata, semasa era Pakatan Harapan, SMPC diperuntukkan RM12 juta pada tahun 2019 dan dana tersebut meningkat kepada RM15 juta di bawah Belanjawan 2020.

Namun, Khoo yang tidak berpuas hati dengan Belanjawan 2021 berkata, tidak satu sen pun akan masuk kepada 60 SMPC di negara ini dan jelas bahawa PN tidak menghormati sekolah-sekolah vernakular.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button