Berita Utama

Rakyat lancar petisyen desak KWSP pinda syarat i-Sinar

Rayu dengar nasib pencarum, tuntut kategori 2 dibatalkan serta-merta

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 18 Rabiulakhir 1442H, Jumaat – Satu petisyen dalam talian dilancarkan bagi mendesak Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) memberi kelonggaran kepada pencarumnya yang layak untuk membuat pengeluaran simpanan Akaun 1.

Petisyen bertajuk ‘Pindaan dan Bantahan Perincian Pengeluaran KWSP Akaun 1’ yang dilancarkan di platform change.org itu setakat ini sudah mengumpul 4,645 tandatangan daripada rakyat Malaysia selepas dua hari dilancarkan.

Petisyen itu antara lain mengandungi bantahan mengenai perincian dan syarat pengeluaran Akaun 1 yang diumumkan pada 2 Disember lalu terutamanya bagi ‘Kategori 2’.

Kategori 2 adalah untuk ahli KWSP yang masih bekerja tetapi mengalami pengurangan pendapatan keseluruhan sebanyak 30 peratus dan ke atas (termasuk pengurangan gaji dan elaun, atau pemotongan tuntutan kerja lebih masa) selepas Mac 2020, dan pengurangan itu hanya boleh dikenal pasti melalui dokumen diberikan.

“Perincian ini seakan tidak adil kepada pencarum lain yang memerlukan terutamanya bagi Kategori 2. 

“Terdapat ramai pencarum yang terkesan dan tidak layak disebabkan syarat perlu potongan melebihi 30 peratus,” jelas petisyen itu.

Justeru, pelancar petisyen itu menegaskan, mereka sebagai pencarum KWSP menuntut agar Kategori 2 dibatalkan serta merta.

“Syarat ini tidak adil bagi mereka yang dipotong, dikurangkan gaji, elaun dan kerja lebih masa dan tidak melebihi 30 peratus,” katanya.

Pada masa sama, petisyen itu turut menuntut agar penerima i-Lestari mendapat kemudahan i-Sinar secara automatik.

“Penerima i-Lestari yang berniat untuk mengeluarkan Akaun 1 i-Sinar boleh memberikan persetujuan pengeluaran melalui cara yang sama dengan permohonan i-Lestari (tanpa syarat seperti pemotongan 30 peratus atau lebih daripada itu),” tegas petisyen itu.

Salah seorang yangrt menurunkan tandatangan pada petisyen itu, Norbert Jafar merayu agar KWSP mengasihani rakyat yang terjejas dan memberikan kelulusan automatik pada yang telah menerima i-Lestari.

“Tolonglah kami, bantulah kami, kasihanilah kami. Yang ada i-Lestari auto lulus i-Sinar KWSP. Jika bukan caruman rakyat maka tak wujudlah KWSP ini. Kami sebagai rakyat biasa dan juga sebagai pencarum KWSP, mohon sangat-sangat permohonan i-Sinar tanpa syarat diluluskan.

“Sekiranya KWSP tanpa syarat tidak diluluskan serta-merta, kami sebagai rakyat memerhati dan kamu akan menerima akibatnya pada PRU15.

“Jika keluhan rakyat tidak didengar.  Kami rakyat akan membalas perbuatan kamu pada PRU15 akan datang,” kata Nobert memberi amaran.

Sementara itu, seorang lagi penyokong petisyen itu, Joanne Joe dari Kota Kinabalu, Sabah berkata, dia bersetuju semua ahli pencarum yang terjejas layak mengeluarkan simpanan Akaun 1 tanpa syarat.

“Saya menyokong dan bersetuju bahawa semua ahli pencarum layak mengeluarkan Akaun 1 tanpa syarat kerana nasib hidup mati seseorang bukan di tangan kerajaan dan simpanan KWSP. 

“Musim COVID-19 ini semua ahli ikut terkesan susah demi menanggung semua ahli keluarga dan suku sakatnya, bukan sekadar mementingkan diri sendiri. Mohon kerajaan benarkan pencarum membuat pilihan sendiri. Terima kasih,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button