Berita Utama

Syor lanjut moratorium 6 bulan kepada B40, M40

Cadang kerajaan tampung kekurangan 2 peratus KWSP

KUALA LUMPUR, 22 Rabiulawal 1442H, Ahad – Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) memohon kerajaan mempertimbangkan beberapa cadangan membabitkan Belanjawan 2021, antaranya pelaksanaan moratorium secara automatik kepada peminjam kategori B40 dan M40.

Dalam satu kenyataan, Setiausaha Agung MTUC Kamarul Baharin Mansor mencadangkan lanjutan moratorium diberikan kepada golongan tersebut untuk tempoh enam bulan lagi.

“MTUC juga meminta kerajaan menampung kekurangan caruman dua peratus pekerja dengan menambah kadar tersebut dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara berterusan selama 12 bulan.

“Selain itu, pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akaun 1 perlu dipanjangkan kepada pengeluar i-Lestari secara automatik,” katanya.

Dalam Belanjawan 2021 yang dibentangkan pada Jumaat lepas, kerajaan memutuskan kadar caruman KWSP diturunkan daripada 11 peratus kepada 9 peratus bagi meningkatkan pendapatan boleh guna.

Selain itu, MTUC turut mencadangkan tempoh elaun mencari kerja pada kadar 80 peratus bagi Januari hingga Mac diberikan menerusi Sistem Insurans Pekerjaan.

Mengenai penubuhan Majlis Pekerjaan Negara pula, MTUC menganggapnya sebagai langkah proaktif kerajaan dalam menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat dan kongres itu memohon untuk turut serta dalam majlis tersebut kerana melibatkan aspek pekerja.

Bagi inisiatif MySTEP pula, Kamarul Baharin berkata pekerjaan secara kontrak tidak menjamin pekerjaan kepada pekerja dan sektor swasta akan menjadikan pekerjaan secara kontrak dalam sektor awam sebagai panduan dan menjadikan sistem itu amalan dalam pekerjaan pada masa akan datang.

Menurut kenyataan itu lagi, MTUC berharap bantuan secara terus kepada pekerja dapat diberikan seperti peningkatan gaji minimum, kadar Bantuan Sara Hidup (COLA) serta sebarang bentuk subsidi bagi memberi pendapatan boleh guna kepada pekerja.

MTUC turut mencadangkan agar Peraturan Pekerjaan Darurat diperkenalkan bagi menjamin pekerjaan sedia ada dan menerima gaji serta faedah secara berterusan dan cadangan itu telah dikemukakan kepada Kementerian Sumber Manusia pada 14 April.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button