Berita Utama

44 pendatang asing cuba keluar, masuk cara tidak sah

Mereka dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang untuk pemeriksaan

KUALA LUMPUR, 23 Rabiulawal 1442H, Isnin – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menahan 44 pendatang tanpa izin di perairan pantai Desaru Coast, Bandar Penawar, Johor awal pagi tadi, kerana cuba keluar dan masuk ke negara ini secara tidak sah.

Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia, Kem Terendak, Melaka dalam satu kenyataan hari ini berkata, kesemua pendatang asing itu ditahan pada pukul 3.15 pagi oleh pasukan Rejimen Pertama Kor Armor Diraja (1 KAD) ketika melaksanakan Op Benteng.

Menurut kenyataan itu, pasukan “Quick Reaction Force” (QRF) diatur gerakkan setelah menerima maklumat perisikan sebelum membuat intipan di kawasan berkenaan pada pukul 2.30 pagi seterusnya mengesan kehadiran sebuah bot di perairan Pantai Desaru Cost.

“Pasukan itu membuat serbuan ke atas 20 lelaki dan lima wanita yang dipercayai sedang menunggu untuk pulang ke negara asal, manakala lima lelaki dan 14 wanita baru tiba ke negara ini (menaiki bot) melalui laluan yang tidak sah.

“Kesemua yang ditahan berumur sekitar 20 hingga 54 tahun dengan nilai rampasan keseluruhan penahanan dianggarkan berjumlah RM84,577,” katanya.

Barang rampasan termasuk wang tunai RM41,982 dan matawang Indonesia hampir 46 juta rupiah Indonesia (RM12,977.94) serta beberapa jenis matawang negara lain bersama 60 telefon bimbit dan 15 jam tangan.

Kesemua warga asing berkenaan dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang untuk menjalani pemeriksaan dan saringan COVID-19 sebelum diserahkan kepada Jabatan Imigresen, manakala laporan polis dibuat di Balai Polis Bayu Damai. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button