Berita Utama

Terengganu perkasa lagi industri pelancongan Islam

Peninggalan sejarah ulama, produk terbaharu pelancongan

KUALA TERENGGANU, 3 Rabiulawal 1442H, Selasa – Kerajaan Negeri Terengganu akan memperkasakan lagi industri pelancongan Islam di negeri itu dengan menjejak kembali peninggalan sejarah ulama-ulama Islam termasuk yang terdapat di sekitar Taman Tamadun Islam (TTI) dan Sungai Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, antara yang akan diketengahkan ialah rumah dan surau peninggalan seorang ulama dan pejuang yang menentang penjajah Inggeris sekitar tahun 1920-an, iaitu Haji Abdul Rahman Limbong, di Kampung Beladau Kolam di sini.

“Kita perlu lakukan beberapa kajian dan akan berbincang dengan pihak Muzium Negeri Terengganu mengenai rumah dan surau peninggalan Haji Abdul Rahman Limbong. Kita akan jadikan kawasan ini sebagai produk pelancongan dan pada masa sama memelihara nama besar Haji Abdul Rahman Limbong,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika mengadakan lawatan kerja menjejaki lokasi-lokasi sejarah ulama Islam yang terdapat di sekitar Sungai Terengganu dan Sungai Nerus, di sini hari ini.

Katanya, pada masa ini penduduk kampung telah pun menjalankan aktiviti keagamaan di Surau Abdul Rahman Limbong seperti program ratib khas setiap minggu yang boleh diketengahkan kepada pelancong yang menyelusuri Sungai Terengganu dengan menaiki bot.

Beliau berkata, antara yang boleh dipromosikan sebagai salah satu produk pelancongan Islam ialah makam ulama terkenal dari Terengganu, Syeikh Abdul Malek atau lebih dikenali Tokku Pulau Manis, yang terletak di Pulau Manis.

Selain itu, katanya, pelancong juga boleh menikmati pelbagai produk pelancongan berasaskan komuniti sepanjang menyelurusi Sungai Terengganu dan Sungai Nerus seperti Pengkalan Banggol Cempedak dan Kalang Warisan.

Dalam pada itu, Ariffin berkata, sebuah jawatankuasa akan ditubuhkan bagi menyelaras aktiviti dan pakej-pakej pelancongan yang terdapat di sepanjang sungai tersebut.

“Jawatankuasa ini juga akan menyelaraskan perkhidmatan bot pelancongan yang disediakan pelbagai pihak di sini termasuk TTI, ‘Payang Water Taxi’ dan bot-bot penambang,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ariffin berkata kemasukan pelancong ke negeri ini merosot 20 peratus ekoran gelombang ketiga penularan pandemik COVID-19, yang melanda negara sejak akhir bulan lepas.

Penyusutan bilangan pelancong itu, kata beliau turut berlaku disebabkan beberapa pengusaha resort di pulau-pulau peranginan tidak lagi meneruskan operasi berikutan musim tengkujuh yang dijangka berlaku tidak lama lagi.

“Data dari MAH (Persatuan Hotel Malaysia) merekodkan Terengganu berada di tempat ketiga kadar penginapan hotel dan inap desa selepas Pahang dan Perak bagi bulan Ogos.

“Pada Jun kita di tempat ketiga, pada Julai kita di tempat kedua. Ini menunjukkan rekod kita masih lagi antara yang tertinggi dan Terengganu masih lagi menjadi destinasi pilihan pelancong pada masa ini,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button