Berita Utama

Kerajaan lantik konsesi korek pasir, lancar air di Sungai Kelantan

Sekira tak dilakukan, boleh sebabkan banjir terutama di Kota Bharu

KOTA BHARU, 23 Rabiulawal 1442H, Isnin – Kerajaan Kelantan telah melantik beberapa syarikat konsesi untuk mengorek pasir dan kelodak di Sungai Kelantan bagi melancarkan aliran sungai terutama di bahagian kuala sungai berkenaan, lebih-lebih lagi ketika menjelangnya musim tengkujuh ini.

Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata kerajaan negeri sememangnya telah mengambil maklum mengenai perkara itu dan sekiranya ia tidak dilakukan, boleh menyebabkan banjir yang buruk melanda negeri itu, terutama di Kota Bharu.

“Ada sesetengah pasir dan kelodak itu membentuk beting yang berubah menjadi pulau kecil menyebabkan laluan air sungai tersekat dan juga sungai yang menjadi cetek akibat timbunan pasir dan kelodak itu.

“Disebabkan itu beberapa syarikat telah diberikan kebenaran atau konsesi untuk mengambil pasir tersebut bagi tujuan pengaliran air sungai itu,” katanya ketika menjawab soalan Mohd Adanan Hassan (PAS-Kelaboran) di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.

Sementara itu DUN Kelantan turut dimaklumkan hasil durian terutama Musang King sepanjang tahun ini dianggarkan mencecah sehingga RM46 juta berbanding RM28 juta pada 2017.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar Negeri Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata atas faktor itu, ramai usahawan durian dapat diwujudkan di Kelantan terutama dalam kalangan golongan miskin.

“Antara pengeluar Musang King terbesar adalah dari daerah Jeli, Kuala Krai dan Machang. Jabatan Pertanian akan terus membantu mereka yang berminat untuk menjadi usahawan durian,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button