Berita Utama

KWSP diminta fleksibel benar pengeluaran daripada Akaun 1

Bagi bolehkan lebih ramai pencarum keluarkan simpanan mereka

KUALA LUMPUR, 23 Rabiulawal 1442H, Isnin – Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz berkata beliau telah menasihati Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) agar lebih fleksibel untuk membenarkan lebih ramai pencarum mengeluarkan simpanan mereka daripada Akaun 1.

“Saya sudah berbincang dengan pihak pengurusan KWSP hari ini dan mereka telah berjanji untuk mengumumkan mengenai cara hendak mengeluarkan dan siapa yang akan layak mengeluarkan wang simpanan daripada Akaun 1.

“Nasihat saya kepada pihak pengurusan KWSP adalah untuk memperluaskan (lebih daripada sasaran) dan fleksibiliti kepada lebih ramai pencarum dapat mengeluarkan (simpanan mereka),” katanya dalam satu wawancara khas bersama Buletin Utama TV3, di sini.

Tengku Zafrul berkata permintaan itu dibuat selepas mendengar keluhan rakyat mengenai pengumuman bahawa hanya pengeluaran bersasar diberikan kepada Akaun 1.

Sebelum ini KWSP telah pun memperkenalkan kemudahan pengeluaran i-Lestari pada April yang membenarkan ahli membuat pengeluaran sebanyak RM500 sebulan selama tempoh 12 bulan dengan jumlah keseluruhan sehingga RM6,000.

Skim itu telah memanfaatkan kira-kira 4.7 juta ahli dengan nilai RM11.6 bilion.

Semasa Belanjawan 2021, Tengku Zafrul telah mengumumkan kemudahan pengeluaran simpanan KWSP daripada Akaun 1 secara bersasar sebanyak RM500 sebulan dengan jumlah sehingga RM6,000 bagi tempoh 12 bulan untuk meringankan beban kewangan ahli-ahli yang terjejas.

Mengambil kira kedua-dua inisiatif i-Lestari serta kemudahan pengeluaran Akaun 1 itu, jumlah keseluruhan pengeluaran adalah sebanyak RM12,000. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button