Berita UtamaIstimewa

Lebih baik Trump menang, terus kelam-kabutkan Amerika

Ambil kaedah syarak, iaitu menolak sesuatu lebih mudaratkan

BANGI, 23 Rabiulawal 1442H, Isnin – Dunia dipercayai akan sedikit aman sekiranya Donald Trump terus menjadi Presiden Amerika Syarikat (AS), kerana sikap kelam-kabut beliau menyebabkan negara itu berada dalam keadaan tidak stabil.

Telatah Trump itu pastinya menyebabkan AS tidak lagi dipercayai sekali gus membuat ia menjadi tidak tenteram, dan perkara tersebut disifatkan baik untuk dunia. 

Demikian pandangan yang dilemparkan oleh Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya susulan kemenangan Joe Biden dalam Pilihan Raya Presiden AS ke-59, semalam.

Aminuddin menjelas, bersandarkan kepada beberapa fakta antaranya Trump tidak suka kepada peperangan dan menolak golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT), beliau lebih gemar jika tokoh korporat itu terus menerajui AS.

Tegasnya, dalam konteks ini, beliau mengambil kaedah syarak iaitu menolak sesuatu yang lebih mudarat daripada dua kemudaratan.

“Mungkin ada yang kata bahawa kedua-dua calon itu tidak baik kerana mereka menentang Islam dan menyokong Yahudi. Saya katakan bahawa itu kenyataan yang benar.

“Trump tidak suka kepada peperangan dan semasa menjadi Presiden tidak ada satu pun peperangan yang beliau mulakan. Berbanding Barack Obama, semasa pemerintahannya selama lapan tahun, beliau telah memerangi tak kurang tujuh negara. Kita kena ingat semasa itu Joe Biden adalah Timbalan Presiden. 

“Obama telah meluluskan undang-undang mengiktiraf golongan ini (LGBT) sehingga seluruh dunia mula mengikutinya. Trump tidak mengiktiraf golongan ini dan pasti ia adalah lebih baik untuk dunia, memandangkan Amerika sering kali dijadikan ‘kiblat’ dalam pelbagai perkara oleh banyak negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bahkan, Aminuddin menambah, bekas calon Presiden AS, Hillary Clinton dari parti Demokrat dalam kempennya suatu ketika dahulu berjanji jika dipilih beliau akan memastikan negara itu menjadi ‘polis’ dunia. 

“Saya jangka dunia akan sedikit aman jika Trump terus memerintah. Malah, Trump telah mula berbaik dengan musuh utama Amerika, Kim Jong-un dari Korea Utara,” katanya.

Selain itu, katanya lagi, Trump tidak mengiktiraf Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA), manakala polisi Demokrat yang dipelopori Clinton ketika itu mendesak dunia termasuk Malaysia menyertainya. 

Aminuddin menegaskan, jika perjanjian itu ditandatangani, negara tidak akan dapat menentukan nasib mereka sendiri tetapi sebaliknya ditentukan oleh AS. 

“Kita dimaklumkan jika Malaysia mengiktiraf TPPA ini, 18 undang-undang negara terpaksa diubah. Adakah kita mahu undang-undang negara diubah hanya sekadar mahu memenuhi tuntutan AS?,” soalnya.

Pada masa sama, Aminuddin berkata, Trump juga tidak gemar syarikat-syarikat besar AS melabur di luar negara. 

Katanya, Trump meminta semua syarikat ini melabur di dalam AS sendiri dan beliau telah mengurangkan cukai bagi menarik minat mereka. 

Keadaan ini, menurutnya, sudah pasti lebih baik kerana ekonomi dunia tidak lagi dicengkam oleh syarikat-syarikat dari AS.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button