Berita Utama

Nahas helikopter: Polis rakam keterangan tujuh saksi

20 saksi lain dikenal pasti, akan dipanggil beri keterangan

KUALA LUMPUR,23 Rabiulawal 1442H, Isnin – Polis telah merakam keterangan tujuh saksi, bagi membantu siasatan kejadian helikopter terhempas di Taman Melawati, Ampang yang mengorbankan dua orang semalam.

Mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Komander (B) Mohamed Sabri Baharom, 56, juruterbang pesawat ringan berkenaan dan penumpang Mohd Irfan Fikri Mohamed Rawi, 41.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Mohamad Farouk Eshak berkata, seramai 20 saksi lain juga telah dikenal pasti dan akan dipanggil untuk diambil rakaman percakapan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan insiden ini juga diseru untuk tampil ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Ampang Jaya, bagi membantu siasatan atau untuk menyalurkan maklumat. Siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, proses bedah siasat ke atas Mohamed Sabri dan Mohd Irfan Fikri dilakukan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia, UKM (HCTMUKM) hari ini dan masing-masing selesai pada pukul 11.15 pagi serta pukul 1.15 tengah hari tadi.

Katanya, kedua-dua jenazah telah diserahkan kepada waris masing-masing untuk urusan pengkebumian.

“Keputusan penuh hasil bedah siasat akan dikemukakan, setelah mendapat laporan penuh makmal,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Farouk juga menasihatkan orang ramai agar tidak mengedarkan video atau gambar berkaitan insiden berkenaan di media sosial, bagi mengelakkan spekulasi dan komen yang tidak wajar serta mengganggu siasatan.

Dalam insiden menjelang tengah hari semalam, dua lelaki maut manakala dua lagi termasuk seorang wanita selamat dalam nahas melibatkan dua helikopter, yang dipercayai berlanggar di udara sebelum sebuah daripadanya terhempas di kawasan semak di Jalan Taman Melawati.

Bernama melaporkan bahawa helikopter berwarna biru yang terhempas itu diterbangkan oleh Mohamed Sabri Baharom, manakala sebuah lagi diterbangkan Datuk Ahmad Jauhari Yahya bekas Ketua Pegawai Eksekutif Sistem Penerbangan Malaysia Berhad, yang kini dikenali sebagai Malaysia Airlines Berhad.

Mangsa yang terselamat iaitu Ahmad Jauhari, 66, dan Tan Chai Eian, 51, dalam sebuah helikopter lain yang membuat pendaratan cemas di sebuah padang sekolah berdekatan, hanya mengalami kecederaan ringan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button