Berita Utama

Naib Presiden Hua Zong antara empat didakwa cemar Sungai Kundang

Turut didakwa benar 8 imigran haram Myanmar dalam premis tanpa kebenaran

SELAYANG, 23 Rabiulawal 1442H, Isnin – Naib Pengerusi Gabungan Persatuan Cina Malaysia (Hua Zong), Ong Seng Khek antara empat pengarah syarikat memproses minyak sawit terpakai didakwa atas tuduhan melepaskan bahan buangan ke dalam Sungai Kundang, Rawang tanpa lesen.

Seng Khek yang juga Pengerusi Dewan Perhimpunan Cina Selangor dan Kuala Lumpur (KLSCAH), 71; Low Sze Wai, 66, Siow Lee Chen, 66 dan Ong Chee Ming, 34 mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadap mereka dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Syafeera Mohd Said, di Mahkamah Sesyen hari ini.

Mengikut kertas pertuduhan, semua tertuduh dengan niat bersama didakwa melepaskan bahan buangan dari premis Syarikat United Fineoleo Sdn Bhd ke dalam parit yang akan mengalir ke dalam Sungai Kundang, Rawang, tanpa lesen.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di premis tersebut di Lot 19701, Jalan KPK 1/3, Kawasan Perindustrian Kundang, Kundang Jaya, di sini, pada 22 Oktober lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 25(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntuk hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sebelum ini, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Ain Shafie, menawarkan jaminan RM50,000 terhadap setiap tertuduh dengan seorang penjamin, berserta syarat tambahan perlu melaporkan diri di balai polis pada setiap bulan dan pasport diserahkan ke mahkamah, serta dilarang menganggu mangsa.

Bagaimanapun, semua tertuduh dalam rayuan mereka menerusi peguam SY Ong memohon dibenarkan jaminan masing-masing RM5,000 dengan alasan sudah memberikan kerjasama penuh, ketika diminta hadir ke mahkamah.

“Kebanyakan mereka sudah berusia antara 60 dan 70 tahun, selain tidak berisiko melarikan diri ke luar negara,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Tertuduh kemudian dibenar diikat jamin RM50,000 berserta syarat tambahan dicadangkan pendakwaan, dan menetapkan 7 Disember ini untuk sebutan semula kes.

Sementara itu, di hadapan Majistret Nur Hafizah Rajuni, keempat-empat tertuduh dengan niat bersama didakwa membenarkan lapan imigran haram warga Myanmar, berada di dalam premis tanpa kebenaran sah di syarikat itu, jam 3 petang, pada 26 Oktober lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63, dibawa bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara maksimum 12 bulan atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Khairunnisak Hassni, menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.

Mahkamah membenarkan semua tertuduh, masing-masing diikat jamin RM5,000 dan menetapkan tarikh sebutan sama dengan Mahkamah Sesyen.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button