Kolumnis

Pastikan JASA benar-benar berjasa

Molek jika Ketua Pengarah JASA diberi kepada Presiden BERJASA

JABATAN Hal Ehwal Khas (JASA) yang diwujudkan semula apabila Perikatan Nasional (PN) memerintah, mendapat peruntukan paling besar Belanjawan 2021, RM85.5 juta berbanding peruntukan JASA sebelum ini. Tahniah JASA.

Harapan saya, biarlah kewujudan wajah baharu JASA, dalam norma baharu, kali ini benar-benar berjasa, bukan lagi alat propaganda parti. Saya pernah terlibat secara tidak langsung dengan JASA dahulu, khidmat runding, bahagian perang saraf, ketika JASA diketuai Allahyarham Datuk Fuad Hassan.

Bagi mengisi kekosongan jawatan Ketua Pengarah JASA, lebih molek lagi jika jawatan tersebut dapat diberikan kepada Presiden parti BERJASA, memandangkan kepada nama JASA itu. Lagipun Presiden BERJASA, terpelajar dan mempunyai wawasan jauh.

Kezaliman yang dilakukan oleh Pakatan Harapan (PH) ketika memerintah dahulu ialah dengan menutup JASA, sehingga ramai kakitangan kehilangan kerja memang tidak dapat dilupakan. Paling sedih, saya ada terjumpa pegawai JASA yang diberhentikan, terpaksa bekerja di pasaraya menjadi jurujual bagi meneruskan hidup. Ini tidak termasuk yang menganggur.

Untuk makluman, operasi JASA dihentikan selepas PH menjadi kerajaan persekutuan sebagai langkah mengurangkan kos kononnya. Namun, ketika pentadbiran BN, 222 anggota JASA telah dikerahkan di setiap kawasan Parlimen.

Menurut sumber, JASA wajah baharu ini, lebih kepada memberikan keutamaan kepada JASA untuk memastikan kerajaan sentiasa mendengar dan faham rintihan rakyat, dan pada masa yang sama rakyat juga boleh mendapat maklumat tepat dari kerajaan. Ini termasuk bantuan kos sara hidup, bantuan perniagaan, peluang pekerjaan dan lain-lain insentif untuk kehidupan sempurna. Moleklah jika begitu.

Saya juga ingin cadangkan beberapa perkara kepada wajah baharu JASA

Pertama, kurangkan berpolitik, selami masalah rakyat. Seperti kata Joe Biden apabila memenangi pilihan raya Presiden Amerika Syarikat (AS) mengalahkan Donald Trump, beliau akan menjaga rakyat, tidak kira yang mengundi beliau atau tidak. Inilah sifat negarawan sebenar, menyatu bukan memisah.

Campur tangan politik atau individu politik tertentu hendaklah sama sekali dielakkan. Lebih molek, jika JASA diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM). Ia bagi mengelakkan JASA dipergunakan bagi tujuan parti dan peribadi.

Perkara ini bukan baharu kerana pada tahun 1961 terdapat dua institusi yang diletakkan di bawah JPM seakan-akan JASA iaitu Bahagian Hal Ehwal Malaysia dan Bahagian Gerak Saraf

Begitu juga, kewujudan JASA bukan suatu perkara baharu di negara lain. Bagi negara maju seperti AS, memang ada JASA, tetapi wujud dalam bentuk dan nama berbeza.

Ruang lingkup dan tugas berkaitan politik JASA juga amat luas. Bukan hanya agenda politik kepartian semata. Tetapi termasuk pentadbiran dan pengurusan awam juga sebahagian daripada tugas politik yang perlu dipikul.

Saya cukup berharap JASA tidak digunakan bagi tujuan politik, terutama untuk kepentingan parti atau individu tertentu untuk mematikan karakter parti lain atau individu yang tidak disukai.

JASA juga turut boleh memainkan peranan sebagai ‘think tank’ kepada kerajaan, termasuk melakukan kajian bagi mendapatkan jawapannya sebenar hubungan rakyat dengan kerajaan.

Kedua, jika JASA dapat buktikan semua ini, belanjawan yang lebih besar diberikan bukanlah isu seperti yang ditimbulkan pembangkang.

Jika JASA benar-benar berfungsi, dengan wujudnya satu sistem dan komunikasi dua hala yang akhirnya melahirkan satu perancangan yang efektif demi pembangunan negara bangsa, yakinlah, kawasan pembangkang pun akan mendapat tempiasnya.

Paling penting, berikan kebebasan kepada JASA untuk melakukan kerja-kerjanya tanpa campurtangan politik yang keterlaluan.

Jika adalah niat seperti itu buangkanlah jauh-jauh kerana ia langsung tidak membawa manfaat kepada agama, bangsa dan negara. Malah, tidak mustahil boleh menghancurkan PN itu sendiri sementara menunggu PRU akan datang.

Ketiga, JASA juga hendaklah melakukan kajian, mengenai psywar dan psyop yang dilancarkan oleh ultra kiasu untuk kembali berkuasa.

Ultra kiasu ini telah menguasai teknologi siber bagi memastikan semua propaganda mereka sampai terlebih dahulu kepada rakyat. Ultra kiasu telah lakukan sekian lama, sehingga akhirnya rakyat termakan dengan fitnah siber yang telah mereka lakukan.

Kejayaan mereka dalam beberapa PRU sejak tahun 2008, membuktikan bahawa tsunami politik yang berlaku sehingga jatuhnya BN adalah disebabkan oleh kecanggihan kecepatan teknologi yang dikuasai. Menurut sumber, laman muka buku (FB Malaysia), turut dikuasai oleh kumpulan ultra kiasu ini.

FB saya telah beberapa kali digantung atas alasan, berbentuk perkauman. Sedangkan terlalu banyak laman sosial yang lebih teruk daripada itu dibiarkan begitu sahaja.

Akhirnya, sesuai dengan nama JASA, maka kemunculan semula dengan wajah baharu, biarlah berjasa. Jika JKR, Jabatan Kerja Raya, disinonimkan dengan Jasa Kepada Rakyat. Maka JASA, Jabatan Hal Ehwal Khas, boleh disinonimkan juga denan Jaga Amanah Sejahtera Agama, dan saya tambah Anak Bangsa, Jaga Amanah Sejahtera Agama dan Anak Bangsa.

Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button