Berita Utama

Pastikan usahawan Bumiputera dapat peruntukan

Peniaga boleh berhijrah pada ekonomi baharu Revolusi Industri 4.0

Oleh Fazleen Safina

BANGI, 23 Rabiulawal 1442H, Isnin – Pakar ekonomi yakin peruntukan RM11.1 bilion untuk memperkasakan Bumiputera menerusi Belanjawan 2021 yang diumumkan Jumaat lalu mencukupi.

Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata, peniaga yang terjejas dengan wabak COVID-19 boleh memulakan semula perniagaan dengan dana yang disalurkan.

Selain itu, peniaga juga boleh berhijrah kepada ekonomi baharu iaitu Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) yang memfokuskan ekonomi digital.

“Sebagai contoh, kita ada 1 juta peniaga Bumiputera termasuk peniaga mikro. Jadi, kalau RM11 bilion dibahagikan kepada mereka, maknanya kira-kira RM11,000 diberi kepada seorang peniaga secara purata dan ia (jumlah) itu agak besar.

“Kalau setiap peniaga dapat RM3,500 itu pun sudah mencukupi untuk mereka memulakan sesuatu yang baharu.

“Namun, cabarannya bagaimana kerajaan nak melaksanakannya dan membahagikan kumpulan-kumpulan mengikut program-program tertentu. Dan ianya cabaran terbesar kerajaan,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Terdahulu, sejumlah RM11.1 bilion disediakan kerajaan bagi meneruskan usaha untuk menyokong pembangunan Bumiputera bagi mengurangkan ketidaksamarataan antara kaum.

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika membentangkan Belanjawan 2021 Jumaat lalu berkata, ia merangkumi RM6.5 bilion untuk menyediakan akses pendidikan berkualiti kepada institusi Bumiputera seperti MARA dan UiTM.

Menurutnya, bagi melonjak dan memperkasa usahawan Bumiputera, sebanyak RM 4.6 bilion disediakan.

Beliau berkata, RM 1.3 bilion lagi untuk pelbagai program peningkatan kapasiti termasuk pembangunan profesional, Dana Kemakmuran Bumiputera serta program atau projek khusus untuk Bumiputera.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button