Pentadbiran baharu AS diharap bawa perubahan konflik Palestin-Israel
Malaysia harap perkembangan bawa berita baik serta positif

KUALA LUMPUR, 23 Rabiulawal 1442H, Isnin – Malaysia meletakkan harapan pentadbiran baharu Amerika Syarikat (AS) dapat membawa perubahan kepada konflik Israel-Palestin, kata Timbalan Menteri Luar Datuk Kamarudin Jaffar.
“Perkembangan politik dan perubahan pentadbiran Amerika Syarikat sedang kita pantau khususnya dalam soal Palestin dan lain-lain.
“Kita letakkan harapan supaya perubahan pentadbiran di Amerika Syarikat dan kenyataan-kenyataan yang kita baca sebelum ini, memberi sedikit harapan positif untuk perubahan yang lebih baik dalam suasana Palestin-Israel ini,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) berhubung pandangan Wisma Putra sama ada hubungan Palestin-Israel akan lebih baik di bawah pentadbiran Presiden AS yang dipilih Joe Biden.
Dilaporkan, Biden yang mewakili Parti Demokratik secara rasmi mengumumkan kejayaannya pada Sabtu serta berikrar menjadi presiden yang berusaha memperbaiki perpecahan dalam negara dan “membuat Amerika kembali dihormati di seluruh dunia”. – Bernama