Dunia

Brazil henti ujian peringkat akhir vaksin COVID-19 dari China

Kematian seorang sukarelawan didakwa tiada kaitan dengan vaksin

RIO DE JANEIRO, 24 Rabiulawal 1442H, Selasa – Brazil menghentikan ujian peringkat akhir vaksin COVID-19 yang dibangunkan oleh China, susulan satu insiden tidak diingini berlaku pada akhir bulan lalu.

Badan Kesihatan Brazil memaklumkan bahawa ujian fasa terakhir vaksin dari syarikat Sinovac Biotech Ltd, yang dikenali sebagai Coronavac, dihentikan ekoran satu kejadian buruk – tanpa menyatakan perincian lanjut – pada 29 Oktober lalu.

Katanya, kajian itu terganggu mengikut peraturan sementara, dan agensi masih belum menganalisis sama ada ia perlu dilanjutkan atau sebaliknya.

Rakan kerjasama Sinovac dalam menghasilkan virus di negara itu, Instituto Butantan Sao Paulo berkata, pihaknya terkejut dengan keputusan berkenaan dan sedang mengesan perincian lanjut kajian tersebut. 

Pengarahnya, Dimas Covas menafikan seorang sukarelawan yang meninggal dunia dalam ujian itu mempunyai kaitan dengan vaksin. 

Setakat ini, wakil syarikat Sinovac belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung keputusan itu. 

Penghentian bagi menyiasat sesuatu insiden bukanlah perkara yang luar biasa dalam setiap peringkat ujian ubat berskala besar, malah dua syarikat Barat iaitu AstraZeneca Plc dan Johnson & Johnson pernah menghentikan percubaan vaksin mereka dan memulakan semula setelah siasatan dibuat.

Tetapi, China telah mula memberikan vaksinnya termasuk Coronavac kepada ratusan ribu orang di bawah persetujuan penggunaan kecemasan.

Bulan lalu, Kementerian Sains China mendakwa syarikatnya telah menyuntik sekitar 60,000 sukarelawan dalam percubaan peringkat akhir, namun tiada laporan berlaku kejadian buruk kesan daripada ujian itu.

Kejadian serius yang berlaku dalam setiap ujian ubat termasuklah kematian, risiko hilang keupayaan atau dimasukkan ke hospital. 

Pembangun vaksin China telah berada di barisan hadapan dalam perlumbaan global untuk menghasilkan imunisasi bagi melawan wabak itu.

Proses menghasilkan sesuatu vaksin biasanya memakan masa selama bertahun, namun boleh dibangunkan hanya beberapa bulan selepas didorong golongan politik yang terdesak mahu menangani COVID-19 yang kini menjangkiti 50 juta orang di seluruh dunia. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button