Berita Utama

COVID-19: 869 kes baharu, 6 kematian hari ini

Sabah kekal catat jumlah tertinggi antara negeri dengan 397 kes

KUALA LUMPUR, 24 Rabiulawal 1442H, Selasa – Malaysia merekodkan 869 kes baharu COVID-19 dan enam kematian dalam tempoh 24 jam lalu, sekali gus mencatatkan jumlah kumulatif sebanyak 42,050 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dalam tempoh tersebut, sebanyak 725 kes pulih turut direkodkan menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya sebanyak 30,304 kes atau 72.1 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Mengenai pecahan kes hari ini, katanya, Sabah terus mencatatkan jumlah tertinggi dengan 397 kes diikuti Selangor (235), Negeri Sembilan (141), Pulau Pinang (27), Kuala Lumpur (19), Perak (12), Kedah (3) dan 8 kes di Johor.

Selain itu, Kelantan mencatatkan sembilan kes, Labuan (8), Sarawak (6) dan Putrajaya (3).

Beliau berkata, kesemua kes baharu ini merupakan kes penularan dalam negara kecuali hanya satu kes import iaitu di Selangor melibatkan bukan warganegara yang tiba dari Nepal.

Dr Noor Hisham berkata, pertambahan enam kematian berkaitan COVID-19 menjadikan jumlah kumulatif kematian 300 kes.

Kesemua kes kematian terbaru itu direkodkan di Sabah melibatkan empat lelaki warganegara, seorang wanita warganegara dan seorang lagi wanita bukan warganegara.

Menurutnya, sehingga kini terdapat 82 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi di mana 27 kes memerlukan bantuan pernafasan.-  Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button