Berita Utama

Elakkan berhutang untuk urus operasi kerajaan

Keupayaan jana pendapatan makin tinggi dengan peningkatan ‘usia negara’

BANGI, 24 Rabiulawal 1442H, Selasa – Meskipun berhutang untuk tujuan pembangunan, secara prinsip boleh diterima berdasarkan keupayaan pembangunan menjana hasil jangka panjang, namun berhutang untuk mengurus operasi kerajaan perlu dielakkan.

Sehubungan itu, kerajaan perlu memantau rapi kedudukan hutang serta pada masa sama memperkukuhkan status kewangan menerusi sasaran khusus.

Pengarah Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi (EAC), Prof Tan Sri Noor Azlan Ghazali berkata, dalam setiap bajet, kerajaan akan menyasarkan pungutan hasil, perbelanjaan mengurus (Operating Expenditure-OE) dan juga perbelanjaan pembangunan (Development Expenditure-DE).

Jelasnya, tahap perbelanjaan berbanding hasil menentukan status fiskal dan keperluan negara untuk berhutang.

“Sejak tahun 1990, hasil kerajaan telah meningkat sebanyak sembilan kali ganda. Asas pungutan cukai yang kecil dan kebergantungan terhadap hasil petroleum adalah antara isu utama berkaitan hasil kerajaan.

“OE merujuk kepada perbelanjaan untuk kerajaan menjalankan operasi setiap tahun, antaranya penggajian, bayaran hutang, pembekalan dan subsidi. OE meningkat sebanyak 11 kali ganda sejak 1990.

“Malaysia berhadapan dengan tekanan fiskal. Baki Akaun Semasa iaitu perbezaan antara hasil dan OE semakin rendah sejak 2010. Sekiranya baki ini menjadi negatif (OE lebih besar dari hasil), ertinya kita perlu berhutang untuk mengurus operasi kerajaan. Mesti dielakkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa defisit atau ‘surplus’ bukanlah perkara mutlak untuk menentukan perancangan kewangan kerajaan baik atau buruk.

Jelasnya, tiada masalah untuk kerajaan berhutang untuk menampung defisit fiskal, asalkan ianya dalam kemampuan kerajaan membayar semula dan matlamat hutang itu jelas untuk tujuan pembangunan jangka panjang.

“Negara berbeza dengan manusia. Manusia ada umur tua (dan kematian) dan keupayaan menjana pendapatan berubah mengikut usia. Di usia emas, keupayaan menjana pendapatan menjadi semakin rendah.

“Negara tiada ‘usia tua’, malah dengan kemajuan pembangunan yang baik, keupayaan menjana pendapatan semakin tinggi dengan peningkatan ‘usia negara’.

“Jangan mudah keliru dengan tahap hutang kerajaan. Ekonomi fiskal tidak sama dengan ekonomi peribadi. Mesti dinilai dengan betul,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button