Berita Utama

Garis panduan COVID-19 hadapi musim tengkujuh dikeluarkan

Disinfeksi PPS, mangsa banjir perlu berdaftar dengan MySejahtera

KUALA LUMPUR, 24 Rabiulawal 1442H, Selasa – Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) telah mengeluarkan garis panduan bencana semasa pandemik COVID-19 bagi menghadapi tempoh Monsun Timur Laut atau musim tengkujuh yang dijangka bermula Rabu ini hingga Mac 2021.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Aminuddin Hassim berkata, antara lain, garis panduan itu memastikan semua mangsa banjir dan petugas perlu menjalani pemeriksaan suhu badan serta prosedur operasi standard (SOP) lain.

“Mangsa banjir juga perlu berdaftar dengan aplikasi MySejahtera dan semua pusat pemindahan sementara  (PPS) akan disinfeksi secara berkala.

“Semua pertugas PPS juga perlu memastikan terdapat kawalan pergerakan yang mana aktiviti berkumpulan termasuk gotong-royong memasak adalah dilarang dan makanan disediakan secara berbungkus,” katanya kepada Bernama menerusi aplikasi WhatsApp hari ini.

Katanya sejumlah RM50,000 telah diperuntukkan bagi kegunaan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) bagi menampung perbelanjaan operasi bencana dalam tempoh tersebut, manakala sejumlah RM20,000 diperuntukkan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) dan Angkatan Pertahanan Awam.

Sebagai agensi penyelaras, Nadma perlu memastikan persediaan sumber manusia, aset, PPS, depoh, pangkalan hadapan dan bekalan sokongan sentiasa berada pada tahap yang optimum agar tindak balas sepanjang Monsun Timur Laut berjalan lancar, katanya.

Menurutnya, setakat ini, sebanyak 5,422 PPS di bawah kelolaan Jabatan Kebajikan Masyarakat telah tersedia bagi menampung kapasiti seramai 1,554,713 mangsa banjir.-  Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button