Berita Utama

Pemilik akaun Twitter ditahan muat naik hantaran hina raja

Polis rampas satu telefon bimbit dan dua kad sim

KUALA LUMPUR, 6 Zulkaedah 1444H, Jumaat – Polis hari ini menahan seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun di Seremban, kerana disyaki memuat naik kenyataan berunsur penghinaan terhadap institusi beraja dan provokasi perkauman menerusi laman sosial Twitternya.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, polis turut merampas satu telefon bimbit dan dua kad sim semasa menahan lelaki terbabit yang dipercayai pemilik akaun @haziqmahmur9.

Noorsiah berkata, kes lelaki berkenaan disiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian D5, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana mendatangkan kebencian terhadap mana-mana raja dan kerajaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Suspek direman tiga hari bermula hari ini hingga Sabtu,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menasihatkan orang ramai menjadi pengguna media sosial yang bijak dan berhemah serta tidak menggunakan platform berkenaan sehingga boleh mendatangkan kegusaran awam serta menggugat keharmonian negara terutamanya melibatkan isu 3R (Bangsa, Agama, Raja).

Katanya tindakan tegas boleh dikenakan terhadap sesiapa sahaja yang menyalahgunakan media sosial mengikut peruntukan undang-undang demi melindungi ketenteraman dan kepentingan masyarakat. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button