Berita Utama

KL, Putrajaya, Labuan jadi ‘Wilayah Bebas Berniaga’ selama 6 bulan

Peniaga boleh mohon lesen sementara dari PBT masing-masing

BANGI, 24 Rabiulawal 1442H, Selasa – Mulai Ahad ini, Wilayah Persekutuan akan menjadi ‘Wilayah Bebas Berniaga’ sehingga 15 April tahun depan.

Inisiatif itu dibuat bagi membolehkan warga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan meringankan beban susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikhususkan kepada warganegara Malaysia saja.

Menerusi inisiatif baharu itu, penduduk Wilayah Persekutuan dibenarkan berniaga termasuk makanan, pakaian dan apa saja jenis perniagaan sehingga enam bulan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, Tan Sri Annuar Musa berkata, kementerian sudah berbincang dan mengambil inisiatif itu untuk membantu ringankan beban penduduk.

Katanya, peniaga boleh berniaga dalam tempoh enam bulan dan urusan permohonan lesen akan dipermudahkan pihak berkuasa tempatan di Wilayah Persekutuan.

“Mereka yang mahu berniaga boleh memohon lesen sementara daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) masing-masing dan memulakan perniagaan pada 15 November ini.

“Ramai yang terkesan daripada PKPB dan COVID-19. Ini inisiatif kerajaan untuk membantu golongan terkesan meneruskan kehidupan dalam tempoh mencabar ini,” katanya seperti dilapor Berita Harian hari ini.

Annuar berkata, PBT juga diminta mengeluarkan garis panduan dalam tempoh terdekat mengenai tatacara perlu dipatuhi orang ramai yang mahu berniaga kelak.

Katanya, syarat dikenakan lebih mudah, iaitu lokasi tidak boleh mengganggu lalu lintas, menjaga kebersihan makanan dan persekitaran tempat perniagaan.

Selain itu katanya, kementerian juga akan mempertimbangkan untuk melanjutkan tempoh berkenaan sekiranya inisiatif ini mendapat sambutan menggalakkan warga Wilayah Persekutuan.

Walaupun tidak menghalang rakyat negeri lain berniaga, Annuar berkata, keutamaan tetap diberikan kepada warganegara yang menetap di Wilayah Persekutuan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button