Berita Utama

Malaysia perlu kaji ujian klinikal sebelum perolehan vaksin

Belum teliti laporan ujian klinikal dari segi keselamatan, keberkesanan

PUTRAJAYA, 24 Rabiulawal 1442H, Selasa – Malaysia perlu mengkaji data ujian klinikal fasa ketiga terlebih dahulu sebelum membuat sebarang komitmen berhubung perolehan vaksin COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Malaysia belum lagi meneliti laporan ujian klinikal tersebut dari segi keselamatan dan keberkesanan.

“Kami (Kementerian Kesihatan Malaysia) sedang meneliti butiran terbabit. Ketika ini terdapat 11 vaksin COVID-19 dalam fasa ujian klinikal,” katanya kepada pemberita pada sidang media perkembangan COVID-19 di Kementerian Kesihatan (KKM) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada Malaysia masih menunggu selepas Pfizer Inc melaporkan bahawa vaksin COVID-19 keluarannya, yang dibangunkan bersama rakan kongsi syarikat itu dari Jerman, BioNTech SE, adalah lebih 90 peratus berkesan dalam mencegah jangkitan COVID-19.

Dr Noor Hisham turut melahirkan kebimbangan kemungkinan mutasi virus COVID-19 menyebabkan bekas pesakit COVID-19 dijangkiti semula dan perkembangan ini boleh memberi kesan kepada vaksin yang dibangunkan.

“KKM juga bimbang ada dilaporkan mutasi berlaku contohnya di ladang penternakan mink di Denmark.

“Ada kes mutasi berlaku jangkitan dalam kalangan haiwan dan kesannya kita tidak tahu lagi,” katanya sambil menambah kementerian itu akan terus menggunakan kaedah kesihatan awam kerana ia menunjukkan kejayaan mengawal penularan penyakit berjangkit contohnya Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) dan COVID-19 yang tiada vaksin sehingga hari ini. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button