Berita Utama

Bila politikus boleh ‘lockdown’ berpolitik?

Adegan lompat parti, pembentukan blok sokongan menjengkelkan

BANGI, 2 Rabiulawal 1442H, Isnin – Kestabilan dalam proses pentadbiran negara penting bagi memastikan perjalanan pentadbiran kerajaan dalam negara dapat dilaksanakan tanpa sebarang gangguan sehingga menjejaskan kehidupan rakyat.

Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara, Profesor Datuk Dr Ismail Sualman menegaskan, rakyat sebenarnya mahukan sebuah kerajaan yang stabil dan terus memperjuangkan pembangunan dalam aspek kehidupan.

Serentak itu, beliau menggesa semua pihak yang terbabit dalam kancah politik dalam negara mengambil segala bentuk langkah dengan segera bagi memastikan kerajaan Malaysia kekal stabil.

“Rakyat sebenarnya tertekan dan terhimpit dek adegan ‘pemainan’ (krisis politik) ini. Harapan rakyat adalah COVID-19 dapat dihapuskan dan ekonomi serta kehidupan kembali normal.

“Bila agaknya pemimpin boleh ‘lockdown’ berpolitik?

‘Bila masanya mereka berkhidmat untuk masyarakat seperti yang dijanjikan dalam kempen pilihan raya jika asyik berusaha menukar pemerintah?,” soalnya dalam artikel disiarkan Sinar Harian hari ini.

Mengulas lanjut, Prof Ismail berkata, dari sudut pandangan rakyat, adegan melompat parti dan pembentukan blok sokongan agak menjengkelkan.

Ini kerana, rakyat dan pengundi yang memberi mandat tetapi pemimpin sesuka hati menukar haluan parti politik.

Katanya, ramai mahukan supaya disegerakan pilihan raya dan biar rakyat yang menentukan kerajaan yang baharu.

“Adakah sesuai buat masa ini untuk Malaysia menganjurkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) jika kemelut politik berterusan dan tidak dapat dibendung lagi?

“Sebenarnya, beberapa negara menangguhkan pilihan raya mereka demi mengutamakan keselamatan rakyatnya daripada terus diancam oleh COVID-19.

“Justeru, Malaysia perlu meneliti sedalam-dalamnya untuk mengadakan PRU dalam keadaan berisiko,” sarannya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button