Berita Utama

DBP tak perlu minta maaf isu takrifan tambi

Bincang secara ilmiah, jangan main sentimen perkauman

BANGI, 12 Syaaban 1442H, Jumaat – Sebagai badan yang merakam segala kata yang menjadi sejarah di Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tidak perlu memohon maaf berhubung penggunaan perkataan keling dalam mentakrifkan tambi.

Ini susulan tindakan seorang aktivis masyarakat India mengecam DBP dalam satu laporan media berhubung pendefinisian perkataan tambi oleh jabatan tersebut, yang disifatkannya sebagai menghina masyarakat India di Malaysia.

Menurutnya, perkataan keling yang digunakan laman sesawang DBP untuk mendefinisikan kata tambi merupakan istilah yang dianggap oleh masyarakat India sebagai menunjukkan rasa tidak hormat.

Justeru, Ahli Jawatankuasa Pusat Komunikasi Korporat dan Multimedia, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Norzafry Norhalim menyarankan supaya entri DBP dikemaskini di laman Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) dengan merujuk Kamus Dewan Perdana.

“Berbalik kepada isu perkataan ‘keling’, DBP juga sudah menerangkan bahawa perkataan ‘keling’ dalam takrif perkataan tambi sudah dikemaskini kepada ‘orang India’ dalam Kamus Dewan Edisi Keempat.

“Dalam Kamus Dewan Perdana pun sudah dinyatakan bahawa perkataan ‘keling’ ialah perkataan tabu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Haji Norzafry menggesa supaya perbincangan isu ini dilakukan secara berilmiah.

“Selaku rakyat pula tidak perlulah kita mainkan sentimen perkauman tentang perkara ini.

“Bagi kaum lain, kita haruslah menghormati kaum India yang tidak suka dipanggil dengan panggilan tersebut manakala kaum India pula diminta untuk memahami konteks penggunaan kata tersebut dalam kamus, iaitu bukan dengan tujuan menghina.

“Sebagai contoh, istilah cacat dan OKU. Perkataan cacat terdapat dalam kamus. Tetapi bagi menghormati golongan orang kurang upaya (OKU), kita menggunakan gelaran khas OKU,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button