Berita Utama

Pencemaran bau: LRA Rantau Panjang, SSP 1,2 dan 3 henti tugas

Gangguan bekalan air mulai 6 petang ini babitkan 1,279 kawasan

KUALA LUMPUR, 24 Rabiulawal 1442H, Selasa – Henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang, Sungai Selangor Fasa (SSP) 1, 2, dan 3 menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual melibatkan 1,139,008 akaun pengguna di Lembah Klang. 

Gangguan bekalan itu merangkumi 1,279 kawasan di Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat mulai 6 petang ini berikutan pencemaran sumber air mentah. 

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor)

, Elina Baseri dalam kenyataan hari ini memaklumkan perkara itu lanjutan kepada kenyataan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) berhubung pencemaran bau seakan pelarut di Sungai Selangor. 

“Air Selangor ingin memaklumkan henti tugas Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang berikutan pencemaran sumber air mentah di Sungai Selangor pada pukul 12.45 tengahari tadi.

“Sehingga pukul 2.30 petang ini, pencemaran di Muka Sauk LRA Rantau panjang pada tahap 8 TON dan LRA SSP1,2 dan 3 pula pada tahap 4 TON.

 “Usaha untuk mencairkan bahan pelarut dan pancut bahan pencemaran yang terdapat dalam Sungai Selangor telah dilakukan dengan melepaskan air dari Empangan Sungai Selangor sebanyak 300 juta liter sehari dan empangan Sungai Tinggi sebanyak 500 juta liter sehari,” katanya. 

Dalam pada itu, beliau berkata Lembaga Urus Air Selangor telah melepaskan air mentah melalui operasi pengepaman kolam KL Larut dengan kapasiti 192 juta liter sehari untuk tujuan yang sama.

“Air Selangor amat memahami situasi para pengguna yang memerlukan air bersih terutama semasa peningkatan kes COVID 19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat ini dengan mengambil segala usaha bagi meminimakan impak gangguan kepada para pengguna yang terjejas,” katanya. 

Maklumat lanjut berkenaan gangguan bekalan air tidak berjadual akan dimaklumkan dari semasa ke semasa menerusi semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Twitter, Facebook, Instagram, aplikasi Air Selangor dan laman sesawang kami di www.airselangor.com

Terdahulu, LUAS dalam kenyataan di laman Facebook memaklumkan Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang, Sungai Selangor Fasa (SSP) 1, 2, dan 3 telah dihentikan tugas pada jam 12.20 hingga 12.45 tengah hari tadi berikutan pencemaran bau yang didakwa seakan-akan solvent (pelarut) telah dikesan di Sungai Selangor.

“Bau telah dikesan sekitar 8 TON di LRA Rantau Panjang. Berdasarkan pemantauan LUAS setakat 6 pagi tadi rekod bacaan terakhir masih 0 TON.

“LUAS, Air Selangor dan pihak-pihak terlibat sedang menjalankan siasatan dan tindakan mitigasi segera. Sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” menurut LUAS.-  Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button