Berita Utama

Peruntukan sekolah swasta Cina selama 2 tahun penyelewengan PH

Sudahlah tak mahu ikut dasar pendidikan negara, lagi mahu minta macam-macam seolah berhak

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 24 Rabiulawal 1442H, Selasa – Sekolah menengah persendirian Cina (SMPC) sememangnya tidak layak sama sekali untuk menerima sebarang peruntukan secara rasmi daripada kerajaan Persekutuan dalam belanjawan negara, apatah lagi mahu menuntut dana seolah-olah ia adalah hak mereka.

Felo Utama Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Teo Kok Seong berkata, amalan memberikan peruntukan dana kepada SMPC selama dua tahun berturut-turut telah memberikan kesan yang buruk.

Ketika era pemerintahan Pakatan Harapan (PH), SMPC diperuntukkan RM12 juta pada tahun 2019 dan dana tersebut meningkat kepada RM15 juta pada 2020.

Dana tersebut diumumkan oleh Menteri Kewangan ketika itu iaitu Lim Guan Eng dan ia diberi secara terus daripada Kementerian Kewangan, bukan melalui Kementerian Pendidikan.

“Sepatutnya dana untuk mereka ini tak perlu diagihkan pun. Sekolah menengah persendirian Cina ini swasta, mereka pun sebenarnya tahu mereka tiada hak pun nak mendesak kerajaan, tetapi sekarang mereka tuntut dana itu semacam dah jadi hak mereka pula.

“Ini satu kesilapan Pakatan Harapan, dan juga satu penyelewengan. Perbuatan ini tak betul langsung,” tegasnya ketika dihubungi Ismaweb.net.

Mengulas lanjut, Prof Kok Seong berkata, pihak ini perlu sedar bahawa mereka sendiri yang memilih untuk menjadi entiti swasta dan menolak untuk menggunakan silibus yang selari dengan dasar pendidikan negara.

Bahkan, kewujudan mereka di negara ini pun sudah cukup membuktikan betapa demokratik dan liberalnya Malaysia dalam membenarkan sukatan pelajaran berlainan untuk diajar di dalam negara, kata beliau lagi.

“Kita tak sekat mereka nak guna bahasa Cina, tak nak guna kurikulum kebangsaan pun kita tak sekat. Mereka nak guna silibus dari Taiwan ke Hong Kong ke kita tak sekat. Cukup liberal dah negara ini. Mereka patut berterima kasih.

“Tetapi mereka nak lagi dan lagi. Sepatutnya apabila mereka sudah dapat kebebasan yang begitu istimewa sifatnya, yang takkan dapatlah di tempat lain di dunia ini, sudah cukuplah tak payah nak tamak lagi.

“Ini minta yang tak sepatutnya. Minta diiktiraf sijil mereka – Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC). Minta peruntukan lagi. Nampak sangat rakus. Semua sepanjang jalan nak untung sahaja. Mereka tiada pemikiran yang rasional, mereka main sondol sahaja,” katanya lagi.

Memetik PH sebagai punca sikap tak sedar dek untung SMPC ini, Prof Kok Seong berkata, ia sebenarnya tak dapat dinafikan dilihat sebagai suatu sifat yang buruk dalam kalangan masyarakat Cina.

“Nampak sangat buruk perangai, pentingkan diri sendiri. Kalau mereka berpikiran rasional mereka takkan menuntut apa yang bukan hak.

“Sepatutnya apa yang diberikan oleh kerajaan itu mereka anggap sebagai ihsan sahaja. Kalau kerajaan beri pun itu hanya sekadar pemberian murah hati oleh kerajaan.

“Jadi baguslah tahun ini tiada apa-apa dana untuk mereka. Itu adalah cara betul. Kalau kerajaan nak bagi, boleh bagi dalam bentuk ihsan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button