Berita UtamaDunia

Pfizer Inc hampir temui vaksin sempurna untuk COVID-19

Hasil data awal dapati vaksin 90 peratus berkesan ke atas pesakit

NEW YORK, 24 Rabiulawal 1442H,Selasa – Lebih kurang 90 peratus vaksin dihasilkan oleh Pfizer Inc berkemungkinan berkesan bagi mengelakkan jangkitan COVID-19.

Syarikat farmaseutikal itu dalam satu kenyataan pada Isnin berkata, kadar itu didapati berdasarkan daripada hasil data awal.

Menurut data awal ujian klinikal, 94 daripada 43,538 peserta adalah positif COVID-19, manakala 10 peratus daripadanya mendapat suntikan sebenar vaksin serta 90 peratus lagi mendapat suntikan placebo atau bukan suntikan sebenar.

Dalam kenyataan sama, Pfizer Inc memberitahu, vaksin jenis mRNA itu terbukti mampu mengelak jangkitan COVID-19 bagi hampir kesemua individu yang mengambil bahagian dalam ujian klinikal fasa ketiga.

Ketua Pegawai Eksekutif Pfizer Inc, Albert Bourla berkata, pihaknya hampir memperoleh vaksin untuk diedarkan kepada rakyat sekali gus mengakhiri pandemik COVID-19.

Pfizer Inc, yang sedang mengembangkan vaksin bersama syarikat Jerman BioNTech, kini berada di landasan benar bagi permohonan untuk mendapat kelulusan penggunaan kecemasan dari Pentadbiran Makanan dan Dadah Amerika Syarikat (AS) pada akhir bulan ini.

Meskipun semuanya berjalan lancar, pihak berkuasa menegaskan bahawa mustahil vaksin akan sepenuhnya terhasil sebelum akhir tahun ini serta bekalan awal mungkin terhad.

Sementara itu, pakar penyakit berjangkit kerajaan AS, Dr Anthony Fauci berkata, keberkesanan sebanyak 90 peratus vaksin itu adalah luar biasa dan ramai tidak menjangka kadar setinggi itu.

“Ini akan memberi kesan besar kepada kita yang berhubungan dengan COVID-19,” katanya. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button