Berita Utama

Politikus serlah sikap tamak haloba pertikai dana vernakular

Rakyat makin mual, isu itu bukan kepentingan utama masa ini

BANGI, 24 Rabiulawal 1442H, Selasa – Politikus yang mempertikai ketiadaan peruntukan bagi sekolah vernakular dalam Belanjawan 2021 telah menyerlahkan sikap tamak haloba mereka dalam kalangan masyarakat.

Lebih memualkan sikap tidak bertanggungjawab itu dipamerkan ketika negara dan dunia berdepan krisis ekonomi akibat daripada pandemik COVID-19.

Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) menegaskan, perkara tersebut tidak wajar dipamerkan pada ketika rakyat yang terjejas teruk dahagakan perhatian ahli politik.

“Lebih menyakitkan hati kita lagi, ada antara mereka adalah wakil-wakil rakyat yang mewakili kawasan majoritinya orang Melayu. Menyedihkan, menyakitkan hati dan memualkan .

“Kita tunggu dan lihat, apakah reaksi kerajaan pada akhirnya nanti? Apakah kerajaan akan mengalah dan meminda Belanjawan 2021 untuk perkara ini? Kita harap tidak,” tegasnya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Ahli Dewan Negara, Senator Datuk S Ananthan berkata, peruntukan khas untuk sekolah vernakular dalam Belanjawan 2021 perlu diumumkan demi mengelakkan sebarang kekeliruan.

Pengerusi MIC Kedah itu berkata, beliau mendapati tiada pengumuman berhubung peruntukan khas untuk sekolah vernakular walaupun peruntukan sebanyak RM800 juta diumumkan untuk sekolah, kelmarin.

Selain itu, Ahli Parlimen DAP mengecam kerajaan kerana tidak memperuntukkan dana untuk SMPC dalam Belanjawan 2021.

Dalam satu kenyataan, Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong berkata, semasa era Pakatan Harapan, SMPC diperuntukkan RM12 juta pada tahun 2019 dan dana tersebut meningkat kepada RM15 juta di bawah Belanjawan 2020.

Namun, Poay Tiong yang tidak berpuas hati dengan Belanjawan 2021 berkata, tidak satu sen pun akan masuk kepada 60 SMPC di negara ini dan jelas bahawa PN tidak menghormati sekolah-sekolah vernakular.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button