Sejauh mana kerajaan boleh berbelanja rancakkan ekonomi?
Kedudukan hutang mesti dipantau rapi, status kewangan diperkukuh

BAJET 2021 menjadi tajuk hangat. Berbagai pandangan dan tafsiran diutarakan. Ianya dikatakan ‘bersejarah’ kerana peruntukan yang terbesar dicadangkan, iaitu RM322.5b.
Besar-kecil saiz bajet bukanlah penentu mutlak baik-buruk sesuatu bajet. Peruntukan besar disandarkan kepada keperluan untuk menangani krisis ekonomi yang begitu runcing berikutan pandemik COVID-19.
Kemeseletan ekonomi menyaksikan semua sektor – isi rumah, firma dan sektor antarabangsa, terjejas. Lazim untuk kerajaan meningkatkan perbelanjaan sebagai penyokong/pencetus kepada pemulihan ekonomi.
Sejauh manakah kerajaan boleh berbelanja untuk merancakkan ekonomi? Apakah kesan perbelanjaan ‘mengembang’ ini terhadap kemampanan kewangan kerajaan dan ekonomi negara?
Dalam setiap bajet, kerajaan akan mensasarkan pungutan hasil, perbelanjaan mengurus (Operating Expenditure-OE) dan juga perbelanjaan pembangunan (Development Expenditure-DE). Tahap perbelanjaan berbanding hasil menentukan status fiskal dan keperluan negara untuk berhutang.
Sejak tahun 1990, hasil kerajaan telah meningkat sebanyak sembilan kali ganda. Asas pungutan cukai yang kecil dan kebergantungan terhadap hasil petroleum adalah antara isu utama berkaitan hasil kerajaan.
OE merujuk kepada perbelanjaan untuk kerajaan menjalankan operasi setiap tahun, antaranya penggajian, bayaran hutang, pembekalan dan subsidi. OE meningkat sebanyak 11 kali ganda sejak 1990.
Malaysia berhadapan dengan tekanan fiskal. Baki Akaun Semasa (Current Account) iaitu perbezaan antara hasil dan OE semakin rendah sejak 2010. Sekiranya baki ini menjadi negatif (OE lebih besar dari hasil), ertinya kita perlu berhutang untuk mengurus operasi kerajaan. Mesti dielakkan.
Berhutang untuk tujuan pembangunan secara prinsipnya boleh diterima berdasarkan keupayaan pembangunan menjana hasil jangka panjang. Dalam konteks ‘individu’, berhutang untuk membeli kereta atau rumah boleh diterima tetapi berhutang untuk mengisi minyak kereta atau makan-minum seharian adalah amalan yang tidak mampan. Sebaiknya OE disandarkan kepada hasil tahunan. Kecekapan dan skala pengoperasian kerajaan menjadi antara penentu utama status ini.
Ditambah perbelanjaan pembangunan (DE), jelas bahawa dalam tempoh 30 tahun kedudukan fiskal Malaysia umumnya berada dalam defisit. Bererti setiap tahun kita berhutang untuk menjayakan pembangunan negara.
Defisit atau surplus perkara mutlak untuk menentukan perancangan kewangan kerajaan baik atau buruk. Tiada masalah untuk kerajaan berhutang untuk menampung defisit fiskal, asalkan ianya dalam kemampuan kerajaan membayar semula dan matlamat hutang itu jelas untuk tujuan pembangunan jangka panjang.
Negara berbeza dengan manusia. Manusia ada umur tua (dan kematian) dan keupayaan menjana pendapatan berubah mengikut usia. Di usia emas, keupayaan menjana pendapatan menjadi semakin rendah. Negara tiada ‘usia tua’, malah dengan kemajuan pembangunan yang baik, keupayaan menjana pendapatan semakin tinggi dengan peningkatan ‘usia negara’. Jangan mudah keliru dengan tahap hutang kerajaan. Ekonomi fiskal tidak sama dengan ekonomi peribadi. Mesti dinilai dengan betul.
Tahap defisit fiskal akan mencecah 6.0 peratus dari KDNK untuk tahun ini dan jumlah hutang kerajaan Persekutuan pada tahun ini dijangka mencecah 60.7 peratus dari KDNK. Adakah negara akan bankrap seperti yang pernah hangat dilaungkan beberapa tahun lepas?
Defisit fiskal pernah mencecah 6.7 peratus ketika negara berhadapan dengan krisis Kewangan Global 2009. Secara beransur-ansur defisit ini dikurangkan kepada sekitar tiga peratus pada tahun 2017. Kini 96 peratus dari hutang kerajaan adalah dalam nilai RM (hutang domestik) dan 71 peratus darinya akan matang lebih dari lima tahun (berjangka panjang). Komposisi ini memberi ruang untuk kerajaan meningkatkan hutang.
Disiplin dalam mengurangkan defisit ke tahap yang stabil adalah penting. Berhutang boleh namun penilaian yang rapi perlu dibuat bagi memastikan kewajarannya dan hutang yang ‘berlebihan’ diluar kemampuan mesti dielakkan.
Kedudukan hutang kerajaan mesti dipantau rapi. Status kewangan kerajaan mesti diperkukuhkan. Sasaran yang khusus mesti ditetapkan. Tahap defisit boleh mempengaruhi status kewangan dan ekonomi negara. Semoga ekonomi negara segera pulih dan kedudukan kewangan kerajaan menjadi lebih mantap.
Prof Tan Sri Noor Azlan Ghazali
Pengarah Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi (EAC)