TLDM usir tiga bot nelayan Indonesia
KD Laksamana Tan Pusmah terima maklumat dari MCC ketika lakukan operasi
BANGI, 24 Rabiulawal 1442H, Selasa – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berjaya mengusir tiga bot nelayan Indonesia yang memasuki perairan negara pada petang Ahad.
TLDM dalam satu kenyataan hari ini berkata, Kapal Diraja (KD) Laksamana Tan Pusmah miliknya ketika melaksanakan operasi Op Benteng Laut dan Op Pejarak telah menerima maklumat dari Maritime Component Commander (MCC) pada jam 12.45 tengah hari Ahad.
Katanya, MCC memaklumkan bahawa beberapa bot nelayan asing telah dikesan di posisi 26 batu nautika selatan Pulau Perak.
“KD Laksamana Tan Pusmah telah diarahkan menghampiri lokasi tersebut untuk melakukan pemeriksaan dan mendapati sebanyak tiga bot nelayan Indonesia sedang bertambat di boya berdekatan di dalam perairan negara Malaysia.
“Lantas KD Laksamana Tan Pusmah melakukan pengusiran dengan mengiringi bot-bot nelayan tersebut sehingga keluar dari perairan negara pada jam 4 petang semalam,” katanya.
Dalam kenyataan sama, TLDM berkata, pihaknya sentiasa memperkasakan Op Benteng selain sentiasa komited dalam menjalankan tugas mengawal perairan negara, serta mempertahankan kedaulatan negara dari dicerobohi oleh Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).
“Ini termasuk bot nelayan asing yang menjalankan aktiviti perikanan secara haram yang boleh menjejaskan pendapatan nelayan tempatan,” katanya.