Berita Utama

UMANY melampau! Tuduh polis salah guna kuasa

UM perlu ambil tindakan terhadap persatuan cemar nama universiti

BANGI, 24 Rabiulawal 1442H, Selasa – Persatuan Pemuda Baharu Universiti Malaya (UMANY) dilihat sudah melampau selepas mendakwa polis menyalah guna kuasa ketika menjalankan siasatan terhadap mereka.

Menempelak kebiadaban itu, Pertubuhan Pembela-Pembela Islam (PEMBELA) mempersoalkan, sikap berani tidak bertempat pertubuhan yang dipercayai pro-DAP itu apabila melemparkan tuduhan tidak berasas kepada polis.

Katanya, sebelum ini juga UMANY pernah mempamerkan sikap kurang ajar dengan tidak memberi kerjasama dan membuat kekecohan di hadapan balai polis.

“Ini sudah melampau! Tahukah anda, lebih 70 laporan polis telah dibuat dan pihak polis hanya melaksanakan tugas mereka untuk menyiasat. 

“Lebih-lebih lagi apa yang dilakukan oleh UMANY ini memang secara jelas dan terang-terangan iaitu terpampang di media sosial mereka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, UMANY mendakwa, polis menyalahgunakan kuasa memanggil para ahli jawatankuasa persatuan itu walaupun keterangan presiden dan naib presiden sudah diambil pada 5 November lalu.

Presidennya, Yap Weng Qin yang didakwa mencabar kuasa Yang di-Pertuan Agong supaya tidak mencampuri hal ehwal negara 13 Ogos lalu berkata, keterangan pemimpin tertinggi pertubuhan itu sudah memadai untuk siasatan tersebut.

Dilaporkan juga bahawa hanya enam Ahli Jawatankuasa UMANY yang hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang sekitar jam 11.15 pagi, semalam.

Walhal, tujuh orang diperintah hadir untuk dirakam keterangan mereka pada 9 November 2020 bagi membantu siasatan kes bersabit kenyataan Weng Qin yang didakwa mencabar kuasa Agong supaya tidak mencampuri hal ehwal negara.

Sehubungan itu, PEMBELA mendesak supaya bukan hanya polis bertindak tegas dalam isu ini, tetapi juga pihak Universiti Malaya (UM) perlu turut sama memberi reaksi balas.

“Ini kerana, UMANY telah menyebabkan nama universiti teruk tercemar lebih-lebih lagi persatuan ini didaftarkan atas nama ‘Universiti Malaya’ itu sendiri,” kata PEMBELA.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button