Berita Utama

Apa tujuan bantu sekolah vernakular tak utamakan semangat nasional?

Tak beretika jika beri juga dana pada sistem sekolah yang tak faham sejarah Malaysia

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 26 Rabiulawal 1442H, Khamis – Tiada penjelasan khas untuk peruntukan sekolah vernakular dalam Belanjawan 2021 boleh dianggap sebagai wajar – memandangkan aliran pendidikan mereka jelas tiada ada kepentingan nasional.

Boleh dikatakan juga tidak beretika sekiranya kerajaan memberi peruntukan kepada satu sistem sekolah yang tidak memahami sejarah Malaysia serta tidak mahu mempelajarinya.

Hasilnya pada masa akan datang, sekolah tidak mematuhi Perlembagaan itu akan mengeluarkan pelajar yang hanya menghancurkan sejarah negara.

Profesor di Institut Antarabangsa Pemikiran dan Ketamadun Islam (ISTAC) UIAM, Prof Datuk Dr Ahmad Murad Merican menyifatkan bukanlah sesuatu yang salah dalam pendidikan nasional sekiranya tiada peruntukan kepada sekolah vernakular.

“Secara warasnya apabila kita sebagai sebuah negara mempunyai sekolah kebangsaan, jadi apakah tujuan untuk kita membantu sekolah vernakular setelah pelbagai pengaruh dan nilai negatif yang telah kita bincangkan dari segi integrasi dan kepentingan nasional.

“Sekolah vernakular tidak ada kepentingan nasional, jadi mengapa perlu ada peruntukan,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Pada masa sama, beliau menyifatkan ketiadaan peruntukan khas itu satu keadaan yang betul demi kepentingan perkembangan dan kemajuan negara.

“Kita faham perkembangan orang Cina di Malaysia mereka bertindak balas terhadap pelbagai dasar dalam masa terdekat ini.

“Namun begitu, kita mesti menegur mereka dan menawarkan nilai-nilai dan sejarah negara yang betul dan sesuai untuk negara bangsa Malaysia,” katanya.

Sebelum ini, Ahli Dewan Negara, Senator Datuk S Ananthan berkata, peruntukan khas untuk sekolah vernakular dalam Belanjawan 2021 perlu diumumkan demi mengelakkan sebarang kekeliruan.

Pengerusi MIC Kedah itu berkata, beliau mendapati tiada pengumuman berhubung peruntukan khas untuk sekolah vernakular walaupun peruntukan sebanyak RM800 juta diumumkan untuk sekolah, kelmarin.

Selain itu, ADUN DAP, V Ganabatirau juga mahu kerajaan mempertimbangkan semula peruntukan khas kepada sekolah vernakular.

“Sebelum ini sejak 2013, tiap-tiap tahun SJKT dan SJKC dapat peruntukan khas RM50 juta masing-masing.

“Kali ini, PN umum RM800 juta secara am untuk semua sekolah. Jadi, kemungkinan sekolah vernakular tidak akan ada keutamaan.

“Kerajaan PN perlu pertimbangkan semula peruntukan khas dalam RM800 juta ini,” dakwanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button