Erdogan, Putin bincang isu Karabakh, Syria
Turut bincang hubungan 2 hala, perkembangan serantau

ANKARA, 25 Rabiulawal 1442H, Rabu – Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan pada Selasa berbincang dengan rakan sejawatannya dari Rusia Vladimir Putin mengenai hubungan dua hala dan perkembangan serantau termasuk isu Karabakh dan Syria.
Menurut kenyataan Presiden Turki, dalam perbincangan menerusi telefon itu Erdogan berkata langkah yang diambil Rusia dalam menangani isu Nagorno-Karabakh sememangnya tepat, lapor Agensi Anadolu.
Tambah Erdogan “paling penting pada saat ini ialah Armenia mesti mematuhi gencatan senjata dan komitmen yang terkandung dalam kesepakatan bersama” yang ditandatangani Azerbaijan dan Armenia itu.
Turki bersama Rusia “akan memantau dan mengawasi aktiviti” berkaitan gencatan senjata melalui Pusat Bersama yang akan diwujudkan di wilayah yang dibebaskan dari penjajahan Armenia. Lokasi pusat itu akan ditentukan Azerbaijan.
Putin pada Selasa mengumumkan dua bekas republik Soviet itu telah menandatangani perjanjian untuk mengakhiri konflik di Nagorno-Karabakh.
Presiden Azerbaijan Ilham Aliyev menyambut baik kesepakatan itu dan anggap ia satu kemenangan kepada negaranya.
Kepimpinan Turki juga menyambut baik gencatan senjata itu, dan menyifatkan sebagai “kemenangan besar” Azerbaijan.
Hubungan Azerbaijan dan Armenia sudah tegang sejak 1991, menyaksikan pertempuran baharu meletus pada 27 September. – Bernama