Berita Utama

48 pertuduhan salah guna media sosial difail setakat September

Kongsi, sebar kandungan lucah antara tertinggi dengan 22 pertuduhan

BANGI, 25 Rabiulawal 1442H, Rabu – Sebanyak 48 pertuduhan menyalahgunakan media sosial telah difailkan di mahkamah bagi tempoh antara Januari hingga September 2020.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkata, angka itu memperlihatkan peningkatan sebanyak 66 peratus iaitu lebih tinggi berbanding tahun lalu.

Menurut Jabatan Komunikasi Korporat SKMM, daripada jumlah itu, 34 pertuduhan adalah membabitkan kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998, kerana berkongsi atau menyebarkan kandungan lucah – angka tertinggi dengan 22 pertuduhan.

“Ini diikuti pula dengan kandungan jelik sebanyak sembilan pertuduhan serta kandungan palsu sebanyak tiga pertuduhan.

“Manakala, 14 pertuduhan yang selebihnya adalah kesalahan yang dilakukan di bawah Kanun Keseksaan dan Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, seperti yang diputuskan Timbalan Pendakwa Raya, Jabatan Peguam Negara berpandukan hasil keterangan yang diperoleh,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

SKMM berkata, kesalahan yang dilakukan melalui aplikasi Facebook dan Twitter mencatatkan angka tertinggi iaitu masing-masing sebanyak 14 pertuduhan, diikuti Whatsapp (13 pertuduhan) dan satu pertuduhan bagi Instagram serta blog.

Bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun 2020 sahaja, SKMM menerima sebanyak 178 Laporan Maklumat Pertama (FIR) berkaitan kesalahan penyalahgunaan media sosial, berbanding hanya 139 bagi tempoh sama pada 2019.

“Sebarang perkongsian atau penyebaran kandungan palsu, jelik dan mengancam adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 233 AKM 1998, yang boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

“Peningkatan dari segi bilangan pertuduhan di mahkamah menunjukkan ketegasan SKMM dalam menangani salah guna media sosial yang masih berleluasa dalam kalangan rakyat.

“Selain itu, tindakan berkenaan juga bertujuan untuk memastikan persekitaran internet yang selamat dan terjamin,” kata agensi itu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button