Berita Utama

Calon UPKK 2020 disekalikan dengan peperiksaan tahun depan

Catatan penilaian sepanjang PKP, PKPB boleh diambil kira untuk subjek amali

BANGI, 25 Rabiulawal 1442H, Rabu – Peperiksaan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) bagi calon tahun 2020 yang terjejas akibat penularan COVID-19 akan disekalikan dengan calon tahun hadapan pada 4 hingga 7 Oktober 2021.

Peperiksaan itu akan membabitkan lima subjek bertulis iaitu Ulum Syariah (Aqidah dan Ibadah), Sirah, Jawi dan Khat, Adab dan Lughah al-Quran.

Manakala, bagi mata pelajaran al-Quran yang merangkumi Ujian Lisan Tadarus dan Tilawah al-Quran, Hafazan serta Tafsir al-Quran akan dilaksanakan pada 1 hingga 30 September 2021.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, jadual pelaksanaan bagi ujian bertulis, amali dan lisan akan dimaklumkan kelak.

“Penjadualan ini bagi membolehkan calon mempunyai tempoh pembelajaran yang mencukupi dan dapat membuat persediaan untuk menduduki peperiksaan.

“Pelaksanaan UPKK kepada calon pada tahun 2021 tidak akan menjejaskan penilaian terhadap tahap penguasaan murid setelah mengikuti pendidikan KAFA,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Zulkifli berkata, keputusan itu setelah mengambil kira kepentingan dan persediaan semua pihak, apatah lagi calon UPKK tahun ini masih mempunyai tempoh setahun lagi sebelum ke sekolah menengah.

“Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) percaya, pematuhan maksimum kepada SOP pembukaan sekolah KAFA yang telah bermula 3 Ogos 2020 menunjukkan suasana positif.

“Ia sama sekali tidak menjejaskan persediaan dan persiapan calon untuk menduduki ujian tersebut yang dijadualkan pada tahun 2021,” katanya.

Beliau berkata, penilaian berbentuk amali bagi mata pelajaran Amali Solat dan Penghayatan Cara Hidup Islam, sebarang catatan penilaian sepanjang sesi persekolahan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP Bersyarat dan PKP Pemulihan boleh diambil kira sebagai salah satu bentuk penilaian.

“Jakim mengambil perhatian harapan ibu bapa terhadap pencapaian.

“Justeru, bagi tujuan ini, pemakluman adalah untuk membantu agensi bertanggungjawab di setiap negeri membuat perancangan, pembelajaran dan persediaan calon,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button