Berita Utama

Dewan Rakyat kecoh isu ‘DG takut mati’

Tak ikut arahan Timbalan Speaker, MP Jelutong diarah keluar dewan

BANGI, 25 Rabiulawal 1442H, Rabu – Sidang Dewan Rakyat hari ini kecoh apabila Ahli Parlimen Jelutong, S N Rayer mendesak Datuk Seri Tiong King Sing (GPS-Bintulu) menarik balik frasa ‘DG takut mati’.

Terdahulu, King Sing membangkitkan isu mengenai Ketua Pengarah Kesihatan yang tidak turun padang dan hanya membuat sidang akhbar harian untuk mendapatkan publisiti.

“DG (Ketua Pengarah Kesihatan) hari-hari buat berita, bagi ‘Office Boy’ (budak pejabat) boleh baca. Kenapa dia tidak turun padang… Macam di Kota Kinabalu, Sabah begitu teruk pandemik COVID-19.

“Kenapa dia tidak melawat setiap hospital, berbincang dan beri sokongan kepada frontliners. Jangan hantar doktor, jururawat saja pergi sebab itu orang (mereka) tidak takut mati, tapi DG takut mati,” katanya seperti dilapor media tempatan.

Rayer yang tidak berpuas hati dengan kenyataan berkenaan meminta King Sing menarik balik kenyataanya serta menyifatkan Dr Noor Hisham perlu dihormati sebagai barisan hadapan menangani COVID-19 di negara.

“Jangan kurang ajar Bintulu. Tarik balik minta maaf. Mana boleh hentam DG,” katanya.

Suasana dalam Dewan Rakyat menjadi kecoh dan beberapa penyokong kerajaan dan pembangkang bangun dan bertikam lidah.

Timbalan Speaker, Datuk Seri Azalina Othman Said, kemudian berkali-kali mengarahkan Rayer duduk sebelum membuat keputusan berhubung kenyataan King Sing itu, tetapi Ahli Parlimen berkenaan enggan berbuat demikian.

“Yang Berhormat (YB) semua duduk… tolong duduk Jelutong, macam mana saya nak buat keputusan jika kamu berdiri, tolong duduk, tolong duduk, tolong duduk!

“Jelutong, saya beri amaran jika tidak duduk kamu keluar. Kamu enggan duduk, bentara keluarkan Jelutong,” katanya.

Azalina kemudian memberi dua pilihan kepada King Sing sama ada memohon maaf dan menarik balik kenyataan mengenai Ketua Pengarah Kesihatan itu atau memberikan penjelasan dengan meneruskan perbahasan.

King Sing memilih untuk menerangkan kenyataannya dan enggan menarik balik perkataan yang digunakan.

“Saya tidak mahu tarik balik, apa salah saya cakap DG (Ketua Pengarah) ini takut mati sebab itu yang ‘frontliner’ nyatakan kepada saya. Saya hanya tanya bagi pihak ‘frontliner’,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button