Berita Utama

Langgar SOP: ADUN DAP perlu dikena tindakan seperti rakyat biasa

Rakyat ‘emotionally fatigue’ ikut arahan jika ada double standard

BANGI, 25 Rabiulawal 1442H, Rabu – Sebagaimana rakyat marhaen lain, wakil rakyat juga perlu dikenakan tindakan sama sekiranya didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Tidak mustahil rakyat akan berasa ‘emotionally fatigue’ untuk mematuhi arahan pihak berkuasa, sekiranya wujud ‘double standard’ dalam setiap tindakan penguatkuasaan.

Justeru, Presiden Perikatan Wanita Antarabangsa Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ), Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan sama terhadap tindakan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), baru-baru ini.

“Pengakuan, gambar dan bukti telah ada. Harap pihak berkuasa mengambil tindakan mengikut peraturan yang sama yang telah diambil ke atas rakyat marhaen.

“Tidak mengambil tindakan menyebabkan rakyat rasa ‘emotionally fatigue’ untuk mengikut arahan lanjut,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini, tindakan ADUN Ketari, Young Syefura Othman memaparkan gambar di media sosial sedang berkelah bersama rakan-rakannya di Avani Sepang Goldcoast Resort mendapat kecaman.

Ia susulan wakil rakyat DAP itu dikatakan melanggar SOP PKPB yang ditetapkan di Selangor.

Difahamkan, gambar itu diambil kelmarin tetapi dimuat naik di Instagram semalam, namun telah dipadamkan.

Mengakui kesalahan itu, Young Syefura memohon maaf dan mendakwa tidak menggunakan sebarang kelebihan sebagai wakil rakyat untuk bergerak di dalam Selangor.

Selangor adalah antara negeri yang sedang dikuatkuasakan PKPB, di mana perjalanan antara negeri dan daerah dilarang kecuali untuk tujuan kerja serta kecemasan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button