Dunia

Perancis masih bergelut gelombang kedua COVID-19

Kes baharu di negara itu meningkat sebanyak 22,180 pada Selasa

PARIS, 25 Rabiulawal 1442H, Rabu – Kes COVID-19 di Perancis meningkat sebanyak 22,180 pada Selasa sementara jumlah kematian harian menyaksikan penurunan.

Jumlah jangkitan kini sebanyak 1,829,659, lapor Agensi Anadolu.

Kira-kira 472 kematian baharu dilaporkan, menurun 79 berbanding hari sebelumnya, dengan jumlah korban keseluruhan 42,207, menurut Kementerian Kesihatan.

Jumlah pesakit yang dirawat di hospital dalam tempoh 24 jam lalu berjumlah 20,921 meningkat sebanyak 858, dengan 3,095 berada di unit rawatan rapi.

Perancis kini mempunyai jumlah jangkitan keempat tertinggi di dunia di belakang Amerika Syarikat (AS), India dan Brazil.

Negara itu kini dalam fasa sekatan pergerakan kedua di seluruh negara sehingga 1 Disember.

Di seluruh dunia, jumlah kematian akibat COVID-19 menghampiri 1.3 juta di 190 negara sejak virus itu pertama kali dikesan di Wuhan, China pada akhir Disember tahun lalu.

Jumlah jangkitan lebih 51.2 juta, menurut data terbaru Johns Hopkins University yang berpangkalan di AS. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button