Berita Utama

Selepas didakwa cemar Sungai Kundang, Presiden KLSCAH mohon cuti sementara

Naib Presiden ditahan, Hua Zong keluar kenyataan kemudian

BANGI, 25 Rabiulawal 1442H, Rabu – Presiden Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH), Ong Seng Khek bercuti sementara menunggu perbicaraan berkaitan kes pencemaran Sungai Kundang, Rawang, sekitar akhir bulan lalu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan KLSCAH, pihaknya telah menerima permohonan cuti dari Ong Seng Khek sehingga kes itu selesai diadili.

Buat sementara waktu, Naib Presiden KLSCAH, Ser Choon Ing akan memangku jawatan presiden pertubuhan tersebut.

“Pengerusi KLSCAH (Ong Seng Khek) telah menyerahkan surat permohonan cutinya pada 9 November (kelmarin) kepada lembaga eksekutif KLSCAH yang setelah itu mengadakan mesyuarat tergempar pada 10 November (semalam) bagi membincangkan isu ini.

“Antara resolusi yang dipersetujui dalam mesyuarat tersebut adalah kepentingan mematuhi undang-undang dan peraturan berkenaan perlindungan alam sekitar, menasihati kerajaan, perusahaan, pengguna dan semua pihak tanggungjawab bersama memelihara alam sekitar,” kata pertubuhan itu seperti dilapor OrientalDaily semalam.

Kenyataan itu turut menyebut, Ong Seng Khek telah meminta cuti sementara agar tugas-tugas di KLSCAH tidak tertangguh, maka KLSCAH telah menerima alasan tersebut dan menerima permohonan cuti sementara beliau.

Selain itu, Ong Seng Khek yang juga Naib Presiden Hua Zong dimaklumkan telah memohon cuti dari pertubuhan berkenaan, namun Hua Zong belum mengeluarkan apa-apa kenyataan.

Timbalan Setiausaha Agung Hua Zong, Yong Yew Wei ketika ditemubual OrientalDaily berkata, kejadian itu berlaku secara mengejut, beliau kurang arif mengenainya dan enggan memberi sebarang komen.

Bagaimanapun katanya, oleh kerana kejadian itu sudah diambil tindakan undang-undang, Hua Zong akan mengeluarkan kenyataan rasmi kemudian.

Terdahulu, Ong Seng Khek dan tiga pengarah syarikat sebuah kilang memproses minyak kelapa sawit terpakai didakwa melepaskan bahan buangan daripada premis itu ke dalam Sungai Kundang, Rawang tanpa lesen.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di premis tersebut di Lot 19701, Jalan KPK 1/3, Kawasan Perindustrian Kundang, Kundang Jaya, di sini, pada 22 Oktober lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 25(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 25(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda RM100,000 atau penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button