Dunia

UNRWA berdepan krisis kewangan kritikal

Gesa komitmen antarabangsa salur sumbangan bantu agensi

RAMALLAH, 25 Rabiulawal 1442H, Rabu – Agensi Kerja dan Bantuan Pelarian Palestin (UNRWA) terpaksa menangguhkan pembayaran gaji kakitangannya untuk bulan November berikutan krisis kewangan semasa yang dihadapi.

Pesuruhjaya UNRWA, Philippe Lazzarini dalam satu kenyataan berkata, agensi itu sudah kehabisan dana untuk membayar gaji 28,000 kakitangannya bulan ini. 

Lazzarini berkata, pihaknya memerlukan AS$70 juta (RM288 juta) pada akhir bulan ini untuk membayar gaji penuh pekerja bagi bulan November dan Disember.

“Sekiranya dana tambahan tidak diperolehi dalam minggu berikutnya, UNRWA terpaksa membayar gaji separuh dahulu kepada semua kakitangan,” katanya.

Katanya, UNRWA adalah badan utama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang bertanggungjawab untuk memberikan bantuan, pendidikan dan perlindungan kepada jutaan pelarian Palestin di Timur Tengah. 

“Pandemik global COVID-19 hanya menyebabkan rasa tidak selamat oleh kebanyakan pelarian setiap hari,” katanya.

PBB memaklumkan, organisasi itu telah memotong AS$500 juta (RM2 bilion) daripada jumlah peruntukan selama lima tahun terakhir melalui pelaksanaan pengurangan kos, termasuk pengecilan jumlah kakitangan.  

Justeru, Lazzarini menggesa penyumbang antarabangsa supaya memenuhi komitmen politik mereka dalam menyalurkan sumbangan kewangan agar UNRWA memiliki aliran dana mencukupi untuk bekalan ubat dan usaha perangi wabak COVID-19 di kem pelarian. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button