Dunia

100 tahanan Palestin di penjara Israel positif COVID-19

Tidak diberi pelitup muka, terpaksa beli sendiri dengan harga tinggi

HEBRON, 26 Rabiulawal 1442H, Khamis – 13 tahanan Palestin di penjara Gilboa disahkan positif COVID-19, sekali gus meningkatkan jumlah kes kepada 100 orang dalam tempoh beberapa hari. 

Persatuan Tahanan Palestin (PPS) berkata, setakat ini sebanyak 360 tahanan di penjara Israel berisiko berdepan wabak itu, terutama mereka yang menderita penyakit kritikal.

Katanya, bahan pensterilan dan pelitup muka tidak diberikan kepada tahanan, yang memaksa mereka membeli sendiri dengan harga tinggi. 

“Perkhidmatan penjara sepatutnya menyediakan semua alat pencegahan kepada tahanan, tetapi sebaliknya mereka dibiarkan membeli sendiri sebagai hukuman,” kata jurucakap PPS, Amany Sarahneh. 

Sarahneh berkata, pihaknya telah berulang kali menghantar surat berkenaan isu itu kepada organisasi antarabangsa termasuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa supaya campur tangan, namun masih belum ada maklum balas.

Pada masa sama, dia bimbang apabila perkhidmatan penjara memaklumkan akan mengurangkan jumlah jenis makanan tertentu. 

“Surat-surat dari penjara sangat menyedihkan. Tahanan memberitahu bahawa penjagaan kesihatan mereka terabai, kualiti makanan sangat buruk walaupun ada penjagaan kesihatan khas untuk mereka yang memerlukan pemakanan baik. 

“Hanya satu lemon setiap hari untuk setiap sel yang dikongsi antara kumpulan tahanan,” kata Sarahneh. 

Sejak awal wabak, lawatan keluarga dan peguam Palestin juga dihentikan sepenuhnya oleh pihak penjara. 

Sebanyak 131 tahanan dilaporkan positif COVID-19 sejak wabak itu menular pada Mac lalu. Menurut anggaran, terdapat 4,400 tahanan Palestin di penjara Israel, termasuk 41 wanita dan 155 kanak-kanak.-  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button