Berita Utama

Senarai pengimport daging hanya didedah selepas pendakwaan selesai

Pendedahan dibuat untuk kurangkan kebimbangan mengenai isu halal

PUTRAJAYA, 14 Jamadilakhir 1442H, Rabu – Senarai pengimport daging yang diberikan lesen untuk memasarkan daging di negara ini, hanya boleh didedahkan selepas pendakwaan membabitkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di mahkamah, selesai.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, perkara itu akan didedahkan mengikut ruang lingkup halal yang diuruskan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Insya-Allah tapi cuma, selepas pendakwaan di mahkamah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Zulkifli berkata, pendedahan itu akan dilakukan bagi mengurangkan kebimbangan orang ramai berhubung isu halal.

Sebelum ini, negara didedahkan dengan taktik jahat kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina sebelum membungkus semula daging berkenaan menggunakan logo halal dan menjualnya ke pasaran seluruh Malaysia. 

Hasil risikan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS), kartel berkenaan dipercayai menyamar sebagai syarikat pembekal daging sejuk beku telah menjadikan gudang berkenaan sebagai lokasi untuk membuat label dan cap palsu yang kemudiannya akan ditampal pada kotak daging yang telah dibungkus semula.

Berikutan itu, SPRM Johor menahan beberapa individu termasuk pegawai MAQIS, pengarah syarikat dan ejen penghantaran kerana disyaki terbabit kegiatan rasuah berhubung isu aktiviti penyeludupan bahan mentah sejuk beku dari negara yang dilarang untuk dibawa masuk ke Malaysia.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button