Berita Utama

Bantah cadangan lantik Mohd Rani sebagai CEO KTMB, gesa kekalkan Kamarulzaman

Mahu PM campur tangan, jika tidak akan wujud pertikaian berpanjangan

BANGI, 26 Rabiulawal 1442H, Khamis – Kesatuan Pekerja-Pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad (KPPKTMB) membantah cadangan pelantikan Mohd Rani Hisham Samsuddin sebagai Ketua Pegawai Eksekutif KTMB baharu.

Pihaknya mahu Datuk lr Kamarulzaman Zainal yang kontraknya berakhir 21 Oktober 2021 terus di kekalkan dan disambung perkhidmatannya selepas ini. 

Presiden KPPKTMB, Abdul Razak Md Hassan menegaskan, pihak kesatuan mempunyai alasan yang munasabah berhubung bantahan yang dikemukakan.

Malah, pihaknya berpandangan bahawa Kementerian Kewangan telah membuat kesilapan apabila mengusulkan cadangan melantik Mohd Rani sebagai Ketua Pegawai Eksekutif KTMB selepas tamat kontrak Kamarulzaman.

Untuk rekod, Mohd Rani pernah memegang jawatan tersebut secara kontrak selama dua tahun bermula 15 September 2017 hingga 14 September 2019.

Bagaimanapun, Abdul Razak berkata, berdasarkan ‘track record’ ketika Mohd Rani menyandang jawatan Presiden KTMB, beliau tidak menunjukkan sebarang pembaharuan kepada KTMB, malah pihak kesatuan menganggap prestasinya adalah tidak memuaskan.

“Jangan salahkan Kesatuan Pekerja-Pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad jika Encik Mohd Rani dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif KTMB, maka akan terwujudnya pertikaian berpanjangan.

“Malah kami tidak akan memberi kerjasama dengan beliau, kerana kami cukup kenal dengan sikap beliau yang cukup sombong dan ego,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, Abdul Razak berkata, pihak kesatuan merayu kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk campur tangan dan memperbetulkan keadaan.

“Kekhilafan ini boleh menyebabkan KTMB tidak akan mengalami kemajuan malah akan mewujudkan pertikaian antara Mohd Rani dengan kesatuan sepanjang tempoh perkhidmatannya, sekiranya beliau dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif KTMB.

“Pihak kesatuan merayu untuk dikekalkan Datuk lr Kamarulzaman Zainal sebagai Ketua Pegawai Eksekutif KTMB,” katanya.

Beliau berkata, penamatan kontrak beliau tidak berasas kerana prestasi beliau adalah sangat memuaskan serta mempunyai hubungan yang baik dengan kesatuan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button