Berita Utama

Bekas Presiden UMANY dituduh di mahkamah esok

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 188 Kanun Keseksaan

KUALA LUMPUR, 26 Rabiulawal 1442H, Khamis – Seorang lelaki yang ditahan kerana disyaki menghalang tugas polis dengan merakam operasi serbuan di sebuah rumah di Petaling Jaya pada 7 November lalu, akan dituduh di Mahkamah Petaling Jaya esok.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Datuk Fadzil Ahmat berkata, kertas siasatan telah dirujuk ke pejabat Peguam Negara, hari ini.

Katanya, pertuduhan mengikut Seksyen 188 Kanun Keseksaan diarahkan ke atas lelaki terbabit kerana mengingkari suatu perintah yang diisytihar oleh penjawat awam.

“Pertuduhan akan dibuat pada jam 10 pagi di Mahkamah Petaling Jaya esok,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Wong Yan Ke, 24, dilaporkan merakam visual operasi polis bagi kes melibatkan Persatuan Pemuda Baharu Universiti Malaya (UMANY) dengan telefon bimbit dan menyiarkannya menerusi Facebook Live.

Polis dilaporkan telah memberi amaran supaya tidak merakam video namun Yan Ke yang merupakan bekas Presiden UMANY itu tetap berdegil meneruskan perbuatannya dengan alasan itu kuasa dan haknya yang tidak boleh dicabar polis.

Polis kemudian menahan Yan Ke kerana menghalang tugas penjawat awam di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan, selain merampas telefon bimbit yang digunakan untuk merakam video. 

Suspek serta barang rampasan diserahkan kepada polis IPD Petaling Jaya untuk tindakan lanjut.

Sebelum ini, media melaporkan polis menjalankan siasatan terhadap Presiden UMANY, Yap Wen Qing mengikut Akta Hasutan 1948 berhubung kenyataan kontroversi mengenai peranan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Sebelum ini, di laman Facebook, UMANY bertindak memuat naik hantaran mempertikaikan peranan Agong dalam satu tulisan bertajuk ‘Yang di-Pertuan Agong tidak sepatutnya campur tangan dalam hal ehwal negara’.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button