Berita Utama

Belanjawan 2021 wajar tumpu kemahiran modal insan mahasiswa

Yakinkah baucar buku digunakan untuk beli barangan keperluan belajar?

BANGI, 26 Rabiulawal 1442H, Khamis – Intipati Belanjawan 2021 tidak sepatutnya hanya memfokuskan kepada materialisme sahaja, bahkan kemahiran modal insan wajar diberi tumpuan.

Dengan kemahiran modal insan inilah dapat meningkatkan nilai diri mahasiswa untuk terus bertahan dalam krisis ekonomi yang meruncing, bukannya bantuan dalam bentuk kewangan semata-mata.

Meskipun pelbagai aspek bantuan yang dikupas oleh Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam belanjawan kali ini, ia sebenarnya boleh diperkasakan lagi terutamanya untuk anak muda ataupun mahasiswa.

Naib Yang Dipertua Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Imran Hakimi berkata, walaupun terdapat beberapa bantuan yang agak ‘relatable’ kepada mahasiswa, namun bantuan kepada mereka masih ada kelompongan yang boleh diisi.

“Ramai pihak ingin menuntut bantuan secara one-off tetapi saya tidak merasakan itu satu langkah terbaik dalam situasi ekonomi yang genting ini.

“Jika diberikan bantuan one-off, ekonomi hanya dapat ‘hidup’ secara bermusim dan tidak berterusan. Sedangkan untuk masa ini wang yang ada di tangan elok kita simpan untuk dilaburkan dalam jangka masa panjang.

“Sama juga dengan tuntutan bantuan baucar buku. Yakinkah bahawa mahasiswa akan menggunakan bauncar buku untuk membeli barang keperluan belajar? Jika ada pun ia tidak ramai. Oleh itu, saya merasakan pemberian baucar buku juga tidak efisien,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, mahasiswa sepatutnya memberi fokus kepada isu pengangguran, maka mereka sewajarnya berusaha mencari beberapa kemahiran penting yang boleh diasah.

“Oleh itu, beberapa aspek bantuan yang saya ingin cadangkan ialah memastikan Program Jaringan Prihatin untuk kemudahan internet dapat dinikmati oleh semua golongan mahasiswa tanpa megikut status ekonomi keluarga.

“Memberikan peruntukan yang banyak kepada institusi kemahiran GiatMARA untuk mengadakan bengkel kemahiran. Peruntukan dana kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk membayar ganti rugi kepada IPTA atau IPTS yang rugi akibat kekurangan kemasukan pelajar,” sarannya.

Beliau menjelaskan, dengan adanya bantuan internet secara menyeluruh, mahasiswa dapat mengikuti kelas dalam talian dan berniaga dalam talian seperti menjadi ejen ‘dropship’ produk tanpa masalah, seterusnya dapat menjana kewangan.

Sementara, peruntukkan kepada GiatMARA untuk diadakan bengkel kemahiran dapat digunakan oleh mahasiswa untuk belajar kemahiran baharu seperti menjahit, menukang dan memasak seterusnya dapat membuka perniagaan berasakan kemahiran yang dipelajari.

“KPT pula sepatutnya disediakan dana untuk membayar ganti rugi kepada IPTA atau IPTS terutamanya dalam soal pembayaran yuran pelajar.

“Andai kata yuran pelajar di sebuah universiti ialah RM890, maka KPT sepatutnya membayar separuh daripada jumlah itu. Maka yuran pengajian mahasiswa dapat dikurangkan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button