BERJASA turun padang bantu mangsa banjir buat kali ke-4
Salur bantuan memenuhi keperluan seperti mesin basuh, tilam

SEREMBAN, 26 Rabiulawal 1442H, Khamis – Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) Negeri Sembilan hari ini buat kali keempat, meneruskan usaha membantu mangsa yang terjejas akibat banjir kilat dengan menyerahkan bantuan keperluan asas beserta wang tunai.
Penyampaian sumbangan diketuai oleh Pengerusi Jawatankuasanya, Ustaz Haji Zamani Ibrahim bersama penggerak-penggerak BERJASA Negeri Sembilan.
Sedikit kelainan dan istimewa pada penyerahan bantuan kali ini adalah sumbangan yang diberikan menepati keperluan mangsa banjir seperti mesin basuh, periuk nasi, seterika, tilam, bantal dan lain-lain.
“Kali pertama dan kedua BERJASA turun untuk membantu membersihkan dan menghulurkan sumbangan kepada mangsa mangsa banjir.
“Kali yang ketiga, BERJASA turun untuk bertemu mangsa banjir dan mendapatkan senarai keperluan yang sangat terdesak dan kali ini BERJASA memberikan sumbangan yang menepati keperluan mangsa.
“Semoga mangsa banjir dapat dibantu dan seterusnya bersabar dengan ujian Allah,” kata BERJASA Negeri Sembilan dalam hantaran di Facebook.
Menerusi hantaran itu juga, salah seorang penerima sumbangan dikenali sebagai Puan Ramnah amat berterima kasih kepada BERJASA atas sumbangan yang diberikan.
“Tangisan kegembiraan mengiringi doa tanda kesyukuran tatkala menerima sumbangan sebuah mesin basuh dan lain-lain kelengkapan rumah daripada BERJASA Negeri Sembilan.
“Puan Ramnah adalah antara mangsa banjir yang paling teruk terjejas di kawasan Ampangan, Seremban,” katanya.