Berita Utama

COVID-19: 996 pulih, 919 kes baharu, 1 kematian hari ini

Jadikan jumlah kumulatif kes pulih sebanyak 32,069 setakat ini

PUTRAJAYA, 26 Rabiulawal 1442H, Khamis – Sejumlah 996 pesakit sembuh daripada wabak COVID-19 iaitu lebih tinggi berbanding 919 kes baharu yang dilaporkan dalam tempoh 24 jam di negara ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata ini menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sebanyak 32,069 kes, manakala bilangan kes aktif dengan kebolehjangkitan mencatat 11,419 kes.

Menurut beliau, daripada 919 kes baharu hari ini, 916 merupakan kes penularan dalam negara, sementara bakinya kes import.

Bagi penularan tempatan, Sabah terus mencatat kes baharu tertinggi dengan 318 kes, diikuti Negeri Sembilan (240), Selangor (174), Pulau Pinang (63) dan Kuala Lumpur (47).

“Lain-lain negeri pula melibatkan Labuan sebanyak 35 kes, Perak (sembilan) Sarawak, Johor dan Melaka masing-masing lapan, Kedah (tiga), Kelantan (dua) dan Putrajaya (satu),” katanya pada sidang media harian COVID-19 hari ini.

Mengenai tiga kes import, Dr Noor Hisham berkata kes tersebut melibatkan dua warganegara dan seorang bukan warganegara, yang tiba dari Indonesia, Nigeria dan Arab Saudi.

Menurut beliau terdapat satu kematian baharu akibat wabak itu dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan yang maut sebanyak 303 kes.

Kes kematian itu melibatkan lelaki bukan warganegara berumur 66 tahun, yang mendapat rawatan di Hospital Tawau, Sabah.

Katanya, sehingga kini, terdapat 92 kes positif sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 35 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata satu kluster baharu dikenal pasti hari ini iaitu kluster Teluk di daerah Kota Kinabalu, Sabah dengan tiga kes indeks bagi kluster tersebut dikenal pasti positif, hasil saringan di tempat kerja pada 9 dan 10 November. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button