Berita Utama

Ingkar SOP: Najib kata nak siasat, kena siasat semua…baru adil

Ambil pengajaran, penjarakan sosial ketika COVID-19 amat penting

BANGI, 8 Zulhijjah 1441H, Rabu – Datuk Seri Najib Razak menyarankan pihak berkuasa turut menyiasat penganjuran program membabitkan Tun Dr Mahathir Mohamad serta Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilihat ingkar arahan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Menerusi hantaran di Facebook, bekas Perdana Menteri itu berkata, jika mahu siasatan dilakukan, maka semua perlu disiasat.

“Jika nak siasat, perlu siasat semua. Barulah adil.

“Semua pihak termasuk kita perlu ambil ini sebagai satu pengajaran bahawa penjarakan sosial dalam zaman COVID-19 adalah amat penting.

“…dan perlu diamalkan pada bila-bila masa,” katanya yang turut memuat naik dua gambar aktiviti keramaian membabitkan Dr Mahathir dan Anwar.

Imej kedua-dua ahli politik berkenaan dipercayai ketika masing-masing menghadiri program Bersatu Blackout di Kedah serta Konvensyen Penerangan Keadilan di Hotel De Palma, Ampang, Kuala Lumpur.

Terdahulu, pihak polis dilaporkan akan memanggil penganjur yang terbabit dalam perarakan menyokong Najib di Mahkamah Kuala Lumpur semalam selepas dikatakan ingkar arahan SOP Perintah PKPP.

Semalam, ribuan penyokong Najib yang hadir membanjiri pintu masuk Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta, seawal 6 pagi.

Mereka hadir bagi memberi sokongan kepada Ahli Parlimen Pekan itu, berhubung kes penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang secara haram berjumlah RM42 juta dari sebuah unit di bawah 1MDB, iaitu SRC International Sdn Bhd.

Kelakuan penyokong bekas Perdana Menteri bagaimanapun mendatangkan rasa kecewa kepada Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah susulan tidak mengamalkan penjarakan sosial.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button