Berita Utama

DG takut mati: Tuduhan King Sing angkuh, memalukan!

MP Bintulu didesak mohon maaf, letak jawatan sebagai duta khas

BANGI, 26 Rabiulawal 1442H, Khamis – Kenyataan tidak bertanggungjawab dan separuh masak oleh Ahli Parlimen Bintulu ketika perbahasan di Dewan Rakyat membuktikan ‘pemimpin itu’ langsung tidak beradab.

Datuk Seri Tiong King Sing (GPS-Bintulu) didakwa mengeluarkan kenyataan ‘DG (Ketua Pengarah Kesihatan) takut mati’ pada sesi perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2021, semalam.

Dalam ucapannya, King Sing mempersoalkan mengapa Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah tidak turun padang di Sabah yang mencatatkan peningkatan kes COVID-19 di negeri itu.

“DG (Ketua Pengarah Kesihatan) hari-hari buat berita, bagi ‘Office Boy’ (budak pejabat) boleh baca. Kenapa dia tidak turun padang… Macam di Kota Kinabalu, Sabah begitu teruk pandemik COVID-19.

“Kenapa dia tidak melawat setiap hospital, berbincang dan beri sokongan kepada frontliners. Jangan hantar doktor, jururawat saja pergi sebab itu orang (mereka) tidak takut mati, tapi DG takut mati,” dakwanya.

Naib Ketua Angkatan Pemuda-Pemudi BERJASA (ANGKASA) Pusat, AD Satiman berkata, tindakan King Sing itu bukti beliau mempersendakan usaha dan pengorbanan Dr Noor Hisham serta semua barisan hadapan dalam mendepani ancaman COVID-19.

Memandang serius isu berkenaan, katanya, kenyataan tidak bertanggungjawab ini adalah memalukan apabila dikeluarkan oleh seorang Ahli Parlimen apatah lagi seorang duta bertaraf menteri ke negara China.

“Jelas, ini membuktikan beliau amat tidak arif akan bidang kuasa dan tanggungjawab sebagai seorang Ahli Parlimen yang diberikan kepercayaan oleh rakyat untuk berada di dewan tersebut.

“Sebagai rakyat Malaysia, saya menuntut beliau menarik balik kenyataan tersebut dan memohon maaf di Parlimen Malaysia, membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Dr Noor Hisham dan seluruh petugas barisan hadapan.

“Selain itu, melepaskan jawatan sebagai Duta Khas Bertaraf Menteri kerana jelas, beliau tidak tahu tanggungjawab dan bidang kuasa yang digalas,” tegasnya dalam kenyataan hari ini.

AD Satiman yang juga Ketua Angkasa Johor turut menggesa kepimpinan Pemuda mana-mana parti politik untuk berdiri teguh dan menyokong Dr Noor Hisham, dan menyelar tindakan King Sing dan menuntut permohonan maaf daripadanya.

“Kita mengharapkan idea, cadangan, tambah baik polisi, dan tindakan berstruktur daripada mana-mana Ahli Parlimen.

“Sebaliknya beliau tunjukkan sikap angkuh dan kedangkalan pemahamannya mengenai bidang kuasa Ahli Parlimen dan penjawat awam. Tindakan Ahli Parlimen yang mempertahankan beliau juga memalukan.

“Sikap angkuh sebegini adalah langkah mundur, kebelakang dan membawa pecah belah walhal yang negara Malaysia perlukan adalah kesatuan utuh seluruh rakyat untuk menghadapi COVID-19,” tegasnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button