Berita Utama

Gangguan air: Sampai bila nak beri muka pada kilang haram?

Jangan lagi berlembut, tutup segera kerana rakyat makin sengsara

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 26 Rabiulawal 1442H, Khamis – Sampai bila kerajaan negeri Selangor perlu beri muka kepada kilang yang beroperasi secara haram yang juga berkemungkinan besar mencemarkan sungai berdekatan dengan mereka?

Apakah kerajaan negeri termaju di Malaysia itu terlalu tuli untuk mendengarkan rintihan rakyat yang terpaksa berhadapan krisis air saban kali, bahkan mungkin ada yang belum sempat menarik nafas lega selepas menghadapi masalah bekalan air sebelumnya.

Ahli Jawatankuasa Pusat Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Omar Kassim menegaskan, air adalah bekalan paling asas dalam kehidupan rakyat dan ketiadaannya amat mengganggu kelancaran kehidupan seharian.

Apatah lagi dalam keadaan negara berdepan COVID-19, tegas beliau, gangguan bekalan air yang boleh dilihat sebagai ‘acara bulanan Selangor’ menyukarkan lagi rakyat untuk mengamalkan penjagaan diri mengikut saranan yang telah ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Kerajaan negeri Selangor yang dipimpin Datuk Seri Amirudin Shari digesa mencari satu pelan menyeluruh untuk menyiasat dan menyelesaikan segera isu ini.

“Tindakan tegas perlu diambil kepada pencemar sungai. Bawa mereka ke muka pengadilan segera tanpa ada perlindungan khas pihak-pihak tertentu!,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Pada masa sama, beliau berharap, kerajaan tidak lagi berlembut dengan kilang-kilang yang beroperasi secara haram, dan ianya perlu ditutup dengan kadar segera.

Terdahulu, dilaporkan bahawa terdapat 5,589 kilang haram dikesan beroperasi di seluruh Selangor dengan 869 daripadanya terletak berhampiran sungai. 

Sebahagian besarnya terletak di hilir sungai atau selepas muka sauk loji rawatan air (LRA).

Kerajaan Selangor pula dilihat bagaikan memihak kepada kilang-kilang ini demgan melaksanakan Program Pematuhan Syarat dan Penguatkuasaan Kilang Tanpa Kebenaran Selangor.

Ia pada asalnya berakhir 30 September namun dilanjutkan pula hingga 31 Disember ini.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button