Berita Utama

Jangan hina! Guru tak makan gaji buta

Proses PdPr tetap berjalan walaupun sekolah ditutup: iGuru

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 26 Rabiulawal 1442H, Khamis – Sudahlah pertikai tugas pendidik, malah dihina dan dituduh pula guru hanya makan gaji buta sepanjang tempoh fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menafikan tuduhan itu, Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) kesal dengan dakwaan segelintir pihak yang memandang rendah dan menghina tugas pendidik.

Presiden iGuru, Ustaz Mohd Azizee Hasan menegaskan, tidak sepatutnya timbul isu ‘makan gaji buta’ seperti yang didakwa, kerana sebagai penjawat awam guru terikat dengan arahan Kementerian Pendidikan (KPM).

“Keputusan KPM mengarahkan sekolah ditutup awal adalah mengambil kira pandangan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) demi keselamatan murid serta guru.

“Guru tetap bekerja dari rumah menjalankan proses PdPr berdasarkan surat pekeliling bertarikh 2 Oktober 2020. 

“Pihak KPM menyediakan manual pengajaran dan pembelajaran dari rumah,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas tuduhan segelintir individu di media sosial yang mempertikaikan tugas guru sepanjang tempoh penutupan sekolah ekoran pelaksanaan PKP dan PKP Bersyarat.

Terdapat beberapa individu juga menuduh guru hanya makan gaji buta, bahkan menyarankan supaya kerajaan melibatkan mereka dalam tugas barisan hadapan lain seperti menjaga sekatan jalan raya.

Mengulas perkara itu, Ustaz Mohd Azizee menyifatkan tindakan individu terbabit berkemungkinan kerana tidak memahami tugas dan tanggungjawab seorang guru.

Beliau menjelaskan, meskipun persekolahan ditutup, guru masih merancang pengajaran demi memastikan proses PdPr berjalan dengan baik.

“Sehubungan itu, iGuru menasihatkan masyarakat agar tidak melayan pandangan individu yang mengeluarkan pandangan di media sosial kerana ia boleh merosakkan hubungan sesama rakyat.

“iGuru turut menasihatkan warganet agar berhati-hari mengeluarkan kenyataan serta tidak menghina dan mengutuk warga guru tanpa sebarang asas,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button