Berita Utama

Kongsi data boleh tingkatkan kefahaman rakyat mengenai COVID-19

‘Ini zaman maha data, dangkal beri alasan tak mahu disalah tafsir'

BANGI, 26 Rabiulawal 1442H, Khamis – Tafsiran data daripada pelbagai pihak berkepentingan akan membantu kefahaman masyarakat mengenai pandemik COVID-19, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Justeru, beliau bersetuju dengan gesaan Akademi Perubatan Malaysia (AMM) supaya kerajaan meningkatkan perkongsian data dengan penyelidik, organisasi profesional kesihatan dan badan rasmi lain, yang boleh menyokong usaha me lawan wabak COVID-19.

Mohamed Khaled menyifatkan, alasan tidak mahu perkongsian data berkenaan disalah tafsirkan adalah dangkal, walhal sekarang dianggap sebagai ‘zaman maha data’.

“Ini adalah zaman maha data. Pelbagai tafsiran data oleh pelbagai pihak berkepentingan akan memperluaskan kefahaman terhadap pandemik ini.

“Pandemik ini tidak akan dapat dikalahkan dalam persekitaran pembasmian yang datanya ‘opaque’, terpencil dan ditafsirkan secara sehala oleh hanya satu pihak yang kapasitinya sendiri adalah terhad,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, AMM meminta kerajaan menilai semula Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikuatkuasakan di kebanyakan negeri ketika ini, selain mencari kaedah lain untuk memutuskan jangkitan COVID-19.

Badan yang mewakili 11 kolej dan 15 pakar perubatan itu berkata, pelaksanaan PKPB yang berlanjutan mengakibatkan kesan lebih buruk terhadap ekonomi dan rakyat. 

Walhal, hanya Negeri Sembilan mencatatkan kadar tinggi, diikuti Putrajaya, Selangor, Pulau Pinang sementara Kedah, Perak serta yang lain masih rendah bagi populasi 100,000 penduduk.

“Adalah lebih baik PKPB ini dilakukan secara bersasar bagi zon yang mencatatkan jangkitan tinggi dan Kementerian Kesihatan mempunyai pengalaman yang baik sejak sembilan bulan lalu dalam mengawal jangkitan dan rekod prestasi cemerlang itu harus diteruskan,” katanya.

Pelaksanaan PKPB di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Sabah disambung hingga 6 Disember ini.

Pada masa sama, kerajaan turut mengumumkan PKPB di semua negeri lain kecuali Pahang, Kelantan dan Perlis.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button